GEORGE TOWN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mencadangkan agar subsidi minyak BUDI95 dikekalkan buat masa ini bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran kos operasi.
Beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor usahawan, pendirian tersebut telah disuarakannya dalam mesyuarat Kabinet.
“Jadi saya telah menyatakan bahawa Kabinet memang tidak ada sebarang keputusan untuk mengurangkan BUDI95 malah sebagai menteri bertanggungjawab ke atas sektor usahawan, saya menyatakan pendirian bahawa harus dikekalkan BUDI95 buat masa sekarang.
“Selain itu, kerajaan turut menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bagi membantu usahawan yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan kali pertama 2026 yang diadakan di Gurney Bay Hotel di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan isu krisis bekalan dan kesannya kepada penjaja serta peniaga kecil, selain langkah kerajaan termasuk penambahan pembiayaan keseluruhan sektor PMKS yang meningkat kepada RM60 bilion berbanding RM50 bilion sebelum ini.
Mesyuarat itu turut memutuskan penganjuran sesi town hall di peringkat negeri bagi membolehkan suara penjaja dan peniaga kecil disalurkan secara langsung kepada kerajaan.
Steven berkata, KUSKOP juga membentangkan kempen Power Up 10K yang menyasarkan penyaluran sehingga RM15 bilion kepada sektor PMKS, dengan lebih RM4 bilion telah diluluskan setakat April melibatkan 154,000 usahawan.
“UDA akan menawarkan diskaun sewaan sehingga 20 peratus kepada PMKS, moratorium tunggakan sewa sehingga tiga bulan serta menanggung kos perkhidmatan tanpa peningkatan caj melibatkan kira-kira 1,000 premis di seluruh negara.
“Kerajaan juga akan melancarkan Portal Hebatkan Perniagaan Malaysia yang akan menjadi pusat sehenti maklumat berkaitan pembiayaan, kursus dan dasar berkaitan usahawan, yang dijangka dilancarkan awal Jun ini selepas mula beroperasi bulan ini.
“Usaha reformasi birokrasi menyaksikan hampir 60 lesen yang sebelum ini perlu diperbaharui setiap tahun kini dibenarkan untuk tempoh lebih setahun, sekali gus dijangka menjimatkan kos pentadbiran kira-kira RM22 juta setahun,” katanya. – MalaysiaGazette















