Isham Jalil.-ZAINAL, 12 JANUARI 2023. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menyifatkan keputusan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan lebih menyukarkan perpaduan kaum di negara ini.

Sedangkan, kata beliau, usaha menyatupadukan rakyat dalam negara yang berbilang bangsa perlu mengutamakan bahasa kebangsaan dan sistem pendidikan kebangsaan.

Menurutnya, jika bahasa dan sistem pendidikan semakin berpecah, penyatuan nasional tidak akan tercapai.

“Kerajaan tidak sepatutnya iktiraf UEC untuk pertimbangan kemasukan ke IPTA waima untuk kursus atau universiti tertentu dan waima dengan syarat tertentu.

“Keputusan kerajaan ini membuka kepada gelinciran perpecahan ke lurah yang licin atau slippery slope of disunity,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Tambah beliau, apabila kerajaan sedikit demi sedikit bertolak ansur kepada pendesak UEC, maka beransur-ansurlah UEC akan diserap dan diterima dan beransur-ansur dan sedikit demi sedikit, sistem pendidikan kita akan lebih terbelah.

“Kita tidak perlu terima UEC. Hormati dan junjunglah sistem pendidikan kebangsaan ke arah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast