JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan bawah kelolaannya susulan isu yang tular dalam media sosial membabitkan seorang guru di negeri ini.
JPN Johor dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk pihak sekolah dan susulan itu guru terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan.
Pihaknya menyeru polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh supaya tindakan undang-undang dapat diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah.
“Sepanjang proses siasatan berjalan, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah. Pada masa sama, JPN Johor turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi serta kesejahteraannya terpelihara,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.
JPN Johor turut menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam kes berkenaan.
“Orang ramai yang berdepan kes seumpama itu juga dinasihatkan supaya membuat laporan polis dan tidak menarik semula laporan berkenaan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun selepas laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 37 tahun pukul 9 malam tadi.
Pengadu mendakwa kejadian kejadian cabul itu dipercayai berlaku di kawasan Seri Alam di sini tahun lalu.
Suspek telah dibawa ke mahkamah di sini hari ini bagi permohonan reman ke atasnya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu tular dalam Facebook atas nama Mohd Fadli Salleh mendakwa seorang murid perempuan dirogol seorang guru lelaki dan kejadian tersebut berlaku pada September tahun lalu.
Mohd Fadli mendakwa, perkara tersebut sudah tiga kali dilaporkan kepada pihak polis dan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang selain membuat aduan kepada pihak Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Bagaimanapun dakwanya, tiada tindakan diambil.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















