KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat membidas pandangan Urimai bahawa Pas tidak seharusnya menentukan hala tuju pembangkang sambil menegaskan setiap parti politik berhak menyuarakan pandangan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Ketua DHPP Pusat, Kumaresan BK berkata, Pas tidak pernah mendakwa mempunyai hak mutlak menentukan hala tuju mana-mana parti politik.
Namun katanya, sebagai sebuah parti yang mempunyai kekuatan akar umbi, rekod pentadbiran di beberapa negeri serta sokongan rakyat yang signifikan, Pas berhak memberikan pandangan strategik mengenai masa depan pembangkang.
Menurutnya, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun ia perlu diuruskan secara matang dan saling menghormati.
“Perbezaan pandangan perlu berpaksikan fakta dan kepentingan rakyat, bukannya melalui tanggapan yang boleh menjarakkan usaha membina kerjasama politik yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Urimai yang mempertikaikan pendirian Pas berhubung hala tuju pembangkang serta penggunaan logo Perikatan Nasional (PN).
Kumaresan turut menolak dakwaan Pas tidak mempunyai sokongan signifikan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Katanya, melalui DHPP, Pas telah membuka ruang penyertaan yang luas kepada rakyat pelbagai kaum dan agama yang berkongsi aspirasi keadilan, integriti, tadbir urus yang baik serta kesejahteraan negara.
“Walaupun masih terdapat ruang untuk diperkasakan, semakin ramai rakyat pelbagai kaum dan agama mula menilai Pas dan PN berdasarkan dasar, rekod pentadbiran serta komitmen terhadap integriti, kestabilan dan kebajikan rakyat.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sokongan politik hari ini semakin dipandu oleh keupayaan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dan bukan semata-mata sentimen perkauman,” tegasnya lagi.
Mengulas isu penggunaan logo PN, Kumaresan berkata pendirian yang dinyatakan pimpinan Pas adalah selaras dengan prinsip organisasi dan peraturan gabungan.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang normal bagi mana-mana gabungan politik menetapkan syarat bahawa hanya parti anggota yang sah dibenarkan menggunakan logo gabungan dalam pilihan raya.
“Prinsip ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan amalan lazim dalam mana-mana organisasi politik yang tersusun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai cabaran semasa, fokus utama pembangkang seharusnya tertumpu kepada usaha menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat, bukannya memperbesar perbezaan sesama sendiri.
Katanya, DHPP menghormati hak Urimai untuk menentukan hala tuju politiknya sendiri, namun setiap parti dan gabungan politik juga wajar menghormati struktur, dasar serta keputusan yang dibuat oleh organisasi lain berdasarkan peraturan dan pertimbangan masing-masing.
“Pas dan PN akan terus mengamalkan pendekatan politik yang matang, inklusif dan berteraskan dialog. Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi komitmen terhadap integriti, kestabilan, tadbir urus yang baik serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Apa yang lebih penting, rakyat mengharapkan penyelesaian kepada isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. Jadinya, keutamaan semua pihak sepatutnya tertumpu kepada usaha membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, makmur dan sejahtera untuk generasi akan datang,” jelasnya. -MalaysiaGazette















