Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman menegaskan peruntukan kawasan Parlimen perlu diberikan secara adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan politik kerana dana awam adalah hak rakyat bukan alat politik.

Beliau berkata, setiap ahli Parlimen yang dipilih rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mewakili kepentingan pengundi, menyelesaikan masalah masyarakat serta membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut tidak berubah sama ada seseorang wakil rakyat berada di blok kerajaan atau pembangkang kerana mereka tetap dipilih melalui mandat rakyat.

“Rakyat yang memilih wakil mereka terdiri daripada pembayar cukai dan warganegara Malaysia yang berhak menerima layanan sama rata serta akses yang adil kepada sumber awam.

“Malangnya, peruntukan kawasan Parlimen di peringkat Persekutuan masih tertakluk kepada pertimbangan politik sehingga mewujudkan keadaan di mana akses kepada dana pembangunan dan sumber kawasan sering dipengaruhi oleh kedudukan politik, bukannya keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ganabatirau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana dana awam adalah milik rakyat dan perlu digunakan demi kepentingan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, apabila seseorang wakil rakyat tidak diberikan sumber yang mencukupi untuk berkhidmat kepada kawasan mereka, pihak yang paling terkesan adalah rakyat yang memerlukan bantuan dan pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu reformasi dilaksanakan bagi memastikan peruntukan kawasan serta sokongan pentadbiran kepada ahli Parlimen dijamin sebagai satu hak dan bukannya tertakluk kepada rundingan politik atau pertimbangan kepartian.

Katanya, satu kerangka perundangan yang telus juga perlu diwujudkan bagi mengawal selia pengagihan peruntukan kawasan supaya dilaksanakan secara konsisten dan bertanggungjawab.

Beliau turut mencadangkan agar pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan kriteria objektif seperti jumlah penduduk, keperluan setempat, cabaran geografi dan keadaan sosioekonomi sesebuah kawasan bukan kesetiaan politik.

Selain itu, beliau berpandangan, satu mekanisme bebas perlu diwujudkan untuk menguruskan dana kawasan tanpa campur tangan kuasa eksekutif atau pengaruh politik.

Ganabatirau berkata, beberapa negeri telah membuktikan bahawa pendekatan lebih adil terhadap pengagihan peruntukan kepada wakil rakyat boleh dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor secara konsisten menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, manakala Perak turut mengamalkan model yang memberikan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti politik.

“Contoh-contoh ini membuktikan tadbir urus demokrasi menjadi lebih kukuh apabila wakil rakyat diberikan keupayaan untuk berkhidmat kepada pengundi mereka secara adil dan berkesan.

“Demokrasi tidak akan berkembang dengan baik sekiranya rakyat dilayan secara berbeza hanya kerana cara mereka mengundi. Rakyat berhak menikmati sistem yang meletakkan kepentingan awam mengatasi pertimbangan politik,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha memperjuangkan reformasi berhubung peruntukan kawasan akan terus diteruskan bagi memastikan dana tersebut digunakan untuk tujuan asalnya iaitu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh institusi demokrasi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast