JOHOR BAHRU – Semua pihak di dalam Barisan Nasional (BN) digesa tidak lagi mempersoalkan kewajaran mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah berkerja keras untuk memastikan BN menang dalam PRN kali ini.
“Kita sudah tidak ada masa, keputusan sudah dibuat. Saya menyeru semua yang hadir jangan persoalkan lagi kerana sudah tidak ada masa. Semboyan sudah dibunyikan untuk kita berperang.
“Kepimpinan BN Johor dan Pusat adalah sehaluan apabila membuat keputusan untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN di Stadium Tertutup Kompleks Educity di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan PRN Johor adalah tepat pada masanya dan semua pihak perlu menyokong sepenuh hati calon BN.
Sementara itu, Loga Bala berkata, PRN Johor perlu menjadi kebangkitan untuk BN sekali gus menjadi inspirasi untuk gabungan tersebut menawan semula kawasan lain dalam pilihan raya nanti.
Ujarnya, kerjasama antara satu sama lain amat penting namun amat memerlukan keikhlasan supaya BN menang besar dalam PRN Johor nanti. – MalaysiaGazette
















