KUALA LUMPUR – Krisis yang sedang melanda Negeri Sembilan (NS) kini bukan lagi sekadar pertikaian berkaitan institusi Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya mula menimbulkan persoalan sama ada wujud percaturan yang lebih besar.
Ia apabila kemelut tersebut berlaku serentak dengan dakwaan rundingan politik untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, negeri beradat itu menyaksikan beberapa perkembangan luar biasa yang jarang berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan.
Bermula dengan pertikaian melibatkan kedudukan Undang Luak Sungai Ujong, isu berkenaan kemudiannya berkembang kepada pengumuman Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kononnya telah dilucutkan daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis di Melaka.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut segera mengundang reaksi pelbagai pihak apabila kerajaan negeri menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Pendirian sama turut dinyatakan Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan yang sah mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketika ramai menjangkakan kontroversi tersebut akan berakhir di situ, kemelut berkenaan memasuki fasa baharu apabila Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali tampil mendakwa pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat Negeri Sembilan.
Lebih menarik perhatian, beliau turut mendakwa tindakan menerima pemasyhuran tersebut menyebabkan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang sebelum ini turut terlucut, membuka satu lagi polemik berkaitan institusi diraja negeri itu.
Perkembangan tersebut menyebabkan pertikaian yang pada asalnya tertumpu kepada kedudukan Yang di-Pertuan Besar kini mula menyentuh struktur gelaran pusaka dan sistem pemerintahan tradisional yang menjadi asas kepada identiti Negeri Sembilan sejak ratusan tahun lalu.
Namun apa yang menjadikan keseluruhan episod ini lebih menarik ialah kemunculan satu lagi isu yang tidak kurang kontroversinya.
Dalam tempoh yang hampir sama, timbul dakwaan mengenai kewujudan rundingan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Dakwaan tersebut muncul susulan penyebaran kandungan surat yang didakwa dihantar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan Pas yang antara lain dikatakan mendedahkan kewujudan beberapa siri perbincangan bagi mengubah landskap politik Negeri Sembilan.
Walaupun dakwaan tersebut masih memerlukan pengesahan dan penjelasan lanjut daripada semua pihak yang dinamakan, kemunculannya telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Malah Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan turut tampil menggesa Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan dakwaan berhubung rundingan yang didakwa bertujuan menumbangkan kerajaan negeri.

Apa yang menarik perhatian pemerhati politik ialah garis masa kedua-dua perkembangan tersebut.
Ketika institusi negeri berdepan salah satu kemelut paling serius dalam sejarah moden Negeri Sembilan, muncul pula dakwaan mengenai usaha menukar kerajaan negeri tanpa melalui pilihan raya.
Keadaan itu secara tidak langsung mengundang persoalan sama ada kedua-dua perkembangan tersebut berlaku secara kebetulan atau mempunyai kaitan yang lebih mendalam.
Setakat ini tiada bukti yang menghubungkan secara langsung krisis institusi diraja dengan dakwaan gerakan politik tersebut.
Namun dalam politik, persepsi sering terbentuk berdasarkan urutan peristiwa dan bukannya semata-mata kenyataan rasmi.
Hakikat bahawa kedua-dua isu besar itu muncul hampir serentak menyebabkan pelbagai spekulasi terus berlegar dalam kalangan rakyat.
Persoalan yang mula dibangkitkan bukan lagi tertumpu kepada siapa Yang di-Pertuan Besar yang sah atau siapa yang memiliki sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Sebaliknya tumpuan kini mula beralih kepada persoalan yang lebih besar iaitu siapa yang mendapat manfaat daripada ketidakstabilan yang sedang berlaku?
Siapa yang mempunyai kepentingan sekiranya berlaku perubahan terhadap struktur kuasa negeri? Dan adakah terdapat pihak tertentu yang melihat kemelut institusi sebagai peluang untuk mencapai matlamat politik yang lebih besar?

Soalan-soalan tersebut mungkin kedengaran sensitif, namun ia adalah persoalan yang lazim muncul dalam mana-mana krisis politik dan institusi di seluruh dunia.
Sejarah menunjukkan bahawa pergolakan terhadap institusi pemerintahan jarang berlaku dalam ruang yang kosong. Ia sering disertai kepentingan politik, persaingan kuasa atau percaturan yang tidak kelihatan di permukaan.
Atas sebab itu, terdapat pandangan sebarang siasatan atau penelitian terhadap krisis yang sedang berlaku tidak seharusnya tertumpu kepada individu yang tampil di hadapan semata-mata.
Sebaliknya, penelitian yang sama juga perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang mungkin memainkan peranan di belakang tabir sama ada sebagai perancang, penggerak, penyokong atau pihak yang mendapat manfaat daripada sesuatu tindakan.
Ini kerana dalam mana-mana krisis yang menyentuh institusi negeri, kesannya tidak terhad kepada individu tertentu.
Ia melibatkan kestabilan pentadbiran, keyakinan rakyat, maruah institusi dan imej Negeri Sembilan secara keseluruhannya.
Bagi rakyat kebanyakan, perkara paling penting ketika ini bukan lagi polemik politik atau pertikaman lidah antara pihak yang bertelagah.
Apa yang mereka mahukan ialah penjelasan yang jelas, telus dan berasaskan fakta mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Mereka mahu mengetahui sama ada kemelut ini benar-benar berpunca daripada pertikaian adat dan perlembagaan semata-mata atau terdapat agenda lain yang sedang bergerak di belakang tabir.
Sehingga persoalan tersebut terjawab, krisis Negeri Sembilan dijangka terus menjadi perhatian kerana ia bukan sahaja melibatkan masa depan sebuah kerajaan negeri, malah menyentuh institusi yang menjadi lambang sejarah, warisan dan identiti negeri beradat itu sendiri. – MalaysiaGazette
















