Ahli Parlimen Klang, V, Ganabatirau

KLANG – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman menggesa reformasi pilihan raya dilaksanakan bagi menangani ketidakseimbangan perwakilan pengundi yang disifatkan semakin ketara antara kawasan Parlimen di negara ini.

Beliau berkata, jurang jumlah pengundi antara sesetengah kawasan Parlimen kini mencecah hampir 10 kali ganda dan ia menjejaskan prinsip kesaksamaan undi yang menjadi asas kepada sistem demokrasi.

Menurutnya, Bangi yang kini merupakan kawasan Parlimen terbesar di negara ini mempunyai lebih 300,000 pengundi berdaftar namun hanya diwakili seorang ahli Parlimen.

Sebaliknya terdapat kawasan Parlimen lain yang mempunyai kurang daripada 30,000 pengundi tetapi menikmati tahap perwakilan yang sama di Dewan Rakyat.

“Malaysia tidak boleh mendakwa mengamalkan demokrasi yang benar-benar adil dan mewakili rakyat sepenuhnya apabila nilai undi seseorang warganegara berbeza secara ketara bergantung kepada tempat mereka mengundi.

“Prinsip asas demokrasi ialah setiap undi mesti mempunyai nilai yang sama dan perkara ini perlu dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ganabatirau berkata, beberapa kawasan Parlimen utama seperti Damansara, Klang, Kota Raja dan Petaling Jaya turut mempunyai ratusan ribu pengundi berdaftar tetapi masing-masing hanya diwakili seorang ahli Parlimen.

Keadaan itu telah mewujudkan jurang besar jumlah pengundi antara kawasan pilihan raya yang akhirnya menyebabkan nilai setiap undi tidak lagi mempunyai kesan yang sama dalam menentukan perwakilan rakyat.

“Fenomena ini dikenali sebagai malapportionment iaitu keadaan apabila kawasan pilihan raya yang mempunyai jumlah pengundi sangat berbeza tetap diwakili oleh bilangan wakil rakyat yang sama.

“Dalam konteks demokrasi, ia bermakna satu undi di sesetengah kawasan boleh mempunyai pengaruh politik yang jauh lebih besar berbanding undi yang diberikan di pusat-pusat bandar utama,” katanya.

Beliau berkata, ketidakseimbangan tersebut berlaku akibat perubahan populasi, penghijrahan penduduk serta sempadan pilihan raya yang tidak lagi mencerminkan realiti demografi semasa.

Menurutnya, beberapa latihan persempadanan semula sebelum ini juga dilihat gagal menangani isu berkenaan apabila kawasan bandar terus menanggung jumlah pengundi yang terlalu besar berbanding kawasan lain.

Bagaimanapun, Ganabatirau menegaskan, gesaan itu bukan bertujuan mengurangkan kepentingan atau suara masyarakat luar bandar dalam sistem demokrasi negara.

“Melindungi kepentingan luar bandar tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan prinsip kesaksamaan demokrasi.

“Demokrasi yang matang perlu mampu mengimbangi kedua-dua keperluan iaitu memastikan kepentingan luar bandar terus terpelihara sambil mengurangkan jurang ketara dalam pengaruh setiap undi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semakan persempadanan pilihan raya yang akan datang digunakan sebagai peluang untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang telah berlarutan sekian lama.

Katanya, kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi terlalu besar perlu dinilai semula dan jika perlu, dipecahkan kepada kawasan lebih kecil supaya perwakilan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mencerminkan realiti penduduk semasa.

“Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana mereka tinggal, berhak mendapat jaminan bahawa undi mereka membawa nilai yang setara dalam menentukan masa depan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast