KUALA LUMPUR – Pengumuman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah wajar kerana selari dengan pendirian majoriti Ahli Parlimen pembangkang, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Menurut beliau, kritikan yang mendakwa tindakan Abdul Hadi mencerminkan apa yang digelar sebagai ‘kuasa mullah’ hanyalah pengulangan naratif lama yang sebelum ini digunakan pihak tertentu untuk menimbulkan kebimbangan terhadap Pas.
Katanya, Abdul Hadi membuat kenyataan itu dalam kapasiti beliau sebagai Presiden Pas dan mewakili pendirian rasmi parti berkenaan yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam blok pembangkang.
“Pas sejak awal lagi konsisten menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan mahu beliau terus dikekalkan dalam jawatan itu, termasuk selepas beliau dipecat daripada Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, sekali gus mengubah landskap politik serta dinamika dalaman blok pembangkang.
Beliau berkata, ketika ini seramai 43 Ahli Parlimen Pas bersama 19 Ahli Parlimen lain yang menyokong Hamzah mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang.
“Ini bermakna kira-kira 80 peratus Ahli Parlimen dalam blok pembangkang masih menyokong kedudukan beliau,” ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan adalah tidak tepat untuk mendakwa Pas membelakangkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya parti itu hanya menyatakan pendirian yang selari dengan kehendak majoriti Ahli Parlimen pembangkang.
Menurutnya, dalam mana-mana amalan demokrasi berparlimen, keputusan seharusnya dibuat berdasarkan sokongan majoriti dan bukannya persepsi atau sentimen politik.
“Jika sesuatu keputusan hendak dibuat secara demokratik dalam blok pembangkang, suara majoriti mestilah dihormati.
“Dalam keadaan majoriti besar Ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah, adalah logik dan munasabah untuk beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan pihak yang mengkritik keputusan tersebut kerana gagal menjelaskan siapa calon lain yang mempunyai sokongan lebih besar berbanding Hamzah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
“Isu sebenar bukan sama ada Hadi membelakangkan PN atau tidak. Isunya ialah sama ada majoriti Ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Berdasarkan angka yang ada, jawapannya jelas, iaitu ya,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















