Ahmad Azlan Abu Bakar

KUANTAN – Kembalinya bekas calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu yang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah ke pangkuan UMNO bukan satu kelemahan kepada PN, sebaliknya disifatkan proses memperkukuh saf perjuangan parti itu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pihaknya menghormati keputusan politik yang dibuat mana-mana individu termasuk bekas calon terbabit bersama penyokongnya.

Menurut beliau, perjuangan Pas dan PN untuk membawa perubahan kepada rakyat di Muadzam Shah tidak bergantung kepada seorang tokoh semata-mata, sebaliknya didokong oleh kekuatan jentera, kesetiaan ahli dan keyakinan rakyat terhadap agenda perjuangan dibawa gabungan itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau dan penyokongnya kerana telah menzahirkan lebih awal hasrat mereka untuk kembali kepada UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Saya melihat perkembangan ini bukan satu kelemahan kepada PN, sebaliknya merupakan proses pembersihan dan pengukuhan saf perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Azlan berkata, Pas sejak sekian lama telah membuktikan kekuatan parti itu bukan hanya bergantung kepada kemenangan pilihan raya, sebaliknya keutuhan jentera yang terus berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

Katanya, jentera PN khususnya Pas di Muadzam Shah terus aktif mendekati masyarakat dan membantu rakyat setempat walaupun tidak memenangi kerusi berkenaan sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan perkembangan tersebut membuka ruang kepada Pas dan PN untuk memperkemaskan gerak kerja, menyusun semula jentera di semua peringkat serta memperkukuhkan barisan kepimpinan yang benar-benar komited dan istiqamah dalam perjuangan.

“Perkembangan ini sama sekali tidak akan menjejaskan misi besar ‘Teraju Pahang’ yang sedang digerakkan secara konsisten oleh Pas dan PN di seluruh negeri.

“Malah ia menjadi pemangkin untuk memperhebatkan lagi gerak kerja, memperluaskan jaringan sokongan rakyat dan memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Sebagai anak jati Muadzam Shah, Ahmad Azlan berkata, beliau melihat kawasan DUN berkenaan sebagai antara sasaran strategik dalam agenda ‘Teraju Pahang’.

Menurutnya, peningkatan sokongan rakyat sebelum ini membuktikan kerusi itu berada dalam jangkauan untuk dimenangi sekiranya seluruh kekuatan parti dapat digembleng secara tersusun dan berfokus.

Tambah beliau, fokus utama Pas dan PN ketika ini kekal kepada usaha mendekati rakyat, memahami denyut nadi masyarakat setempat serta menawarkan penyelesaian terhadap isu berkaitan kebajikan, peluang ekonomi, pembangunan seimbang dan tadbir urus yang berintegriti.

“Saya yakin kekuatan sesebuah gerakan politik bukan diukur melalui kehadiran atau pemergian individu tertentu, tetapi pada keikhlasan perjuangan, kesatuan saf serta kesungguhan jentera dalam mengangkat aspirasi rakyat,” katanya lagi – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

65 kepimpinan, ahli Bersatu Rompin kembali kepada UMNO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast