KLUANG – Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor tidak menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana gabungan perlu dihormati dan tidak sewajarnya terus dijadikan polimik sehingga menimbulkan kebencian serta salah faham.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, pendirian tersebut adalah hak BN Johor sama ada mahu mengadakan persefahaman politik atau bergerak solo.
“Setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian serta hala tuju masing-masing dan keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik tidak seharusnya dilihat melalui lensa perkauman atau kebencian terhadap satu-satu kaum.
“Ia sepatutnya perlu difahami sebagai satu keputusan politik yang dibuat berdasarkan prinsip, nilai dan pertimbangan terhadap kepentingan jangka panjang masyarakat serta negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkara lebih penting adalah memastikan politik negara tidak terjerumus dalam budaya yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
Politik toksik seperti itu katanya, perlu dielakkan kerana pendekatannya berpotensi menghakis kepercayaan antara masyarakat dan menimbulkan ketegangan.
Ujar beliau, rakyat hari ini menginginkan satu kepimpinan yang mampu menyatukan serta membina persefahaman rakyat bukan memecahkan dan membesarkan perbezaan.
Tambah Zakaria, di Johor, semangat kebersamaan diwarisi sejak era sebelum kemerdekaan dan terus menjadi pegangan utama dengan menitikberatkan kestabilan politik, keharmonian kaum dan pembangunan ekonomi.
“Pendekatan ini telah membantu mewujudkan suasana yang kondusif untuk semua lapisan masyarakat dan tidak hanya dinikmati oleh satu kaum tertentu namun dikongsi bersama-sama samada Melayu, Cina, India serta pelbagai kaum lain di negeri ini,” katanya.
Pendekatan itu katanya, selari dengan menghormati semangat Perlembagaan, institusi negara dan nilai kebersamaan yang menjadi asas pembentukan sebuah negara dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan negara.
Zakaria berkata, Malaysia dibina atas asas persefahaman, toleransi dan semangat kebersamaan yang telah dipersetujui sejak sebelum merdeka lagi.
Jelasnya, sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia mempunyai identiti tersendiri yang berteraskan budaya bangsa Melayu sebagai tunjang kepada pembinaan negara namun kepelbagaian kaum dan budaya tetap diraikan sebagai kekuatan kepada kemajuan negara.
Katanya, formula ini terbukti berjaya sejak beberapa dekat lalu apabila rakyat dapat hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan bekerjasama membangunkan negara walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang.- MalaysiaGazette
















