ISKANDAR PUTERI – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti dan membuat kajian segera mengenai penggunaan Modular Precast System (MPS) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan bangunan di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kaedah pembinaan MPS dilihat lebih baik berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana komponen bangunan dihasilkan secara modular sebelum dipasang di tapak.
Beliau berkata, pemasangan sistem MPS yang seolah-olah permainan Lego itu mampu mempercepatkan tempoh pembinaan selain memastikan struktur bangunan lebih berkualiti dan kukuh.
“JKR perlu meneliti dan membuat kajian segera mengenai kaedah MPS bagi pembinaan bangunan. Sistem binaan ini lebih terperinci daripada IBS dan membolehkan bangunan disiapkan dalam tempoh yang lebih pantas.
“Bangunan seperti rumah kos rendah, sekolah dan dewan boleh dibina menggunakan sistem ini supaya rakyat tidak lewat menerima bangunan-bangunna ini,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke Pejabat JKR Negeri Johor di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JKR Negeri Johor, Ir Izmal Ibrahim.
Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu, jumlah pembekal MPS di negara ini masih kurang dan penggunaan MPS masih belum meluas.
“Kalau pembekal IBS itu banyak tetapi kita kurang pembekal MPS, kita ada satu kilang MPS di Kayu Ara Pasong, Pontian tetapi lebih banyak bekalkan ke Singapura.
“Singapura negara maju dan mereka sudah amalkan lebih awal MPS ini bagi memastikan bangunan yang dibina mereka lebih kukuh tetapi siap dengan pantas.
“Ada pembekal MPS lain di negara ini tetapi belum meluas lagi, terlalu sedikit, namun sistem ini digunakan secara meluas di Singapura yang lebih awal mengadaptasi teknologi berkenaan,” jelasnya.
Setakat ini, Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) satu-satunya kementerian yang paling aktif menggunakan kaedah MPS terutamanya dalam pembinaan bangunan tambahan bagi sekolah-sekolah berkepadatan tinggi.
“Baru-baru ini, kita ada buat pemberian Surat Setuju Terima (SST) secara perdana dan hasil cadangan kami di KKR, KPM sahaja yang bersungguh kerana dalam tempoh pantas antara tiga ke empat bulan, dengan MPS ini boleh siapkan sehingga enam bilik darjah,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad berkata, JKR Johor kini menguruskan sebanyak 38 projek pembinaan membabitkan peruntukan bernilai RM356.6 juta yang dibiayai kerajaan negeri sepenuhnya.
“Antara projek itu termasuklah empat projek pembinaan bangunan bernilai RM158.2 juta; 10 projek pembangunan jalan bernilai RM136.8 juta dan 24 projek penyelenggaraan dengan kos RM53.6 juta,” katanya.- MalaysiaGazette
















