Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Bekas Menteri Besar Johor tersebut mengambil keputusan mempertahankan kerusi disandangnya itu selepas membuat pertimbangan sewajarnya.

Bagaiamanapun katanya, keputusan akhir akan diumumkan secar rasmi dalam masa terdekat.

“Insya-Allah (pertahankan kerusi DUN Bukit Kepong). Doakan saya.

“Tapi, kena tunggu dahulu pengumuman senarai semua calon yang akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada PRN Johor 2022, Dr Sahruddin memenangi kerusi DUN Bukit Kepong dengan majoriti 710 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan senarai calon Bersatu yang akan bertanding dalam PRN Johor sedang diteliti oleh pucuk pimpinan parti.

“Senarai semua nama calon yang berpotensi untuk diketengahkan sedang diteliti dan apabila telah dimuktamadkan akan diumumkan segera,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menetapkan PRN Johor diadakan pada 11 Julai ini, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 27 Jun dan 7 Julai.

PRN Johor mempertandingkan sebanyak 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast