Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof menyantuni masyarakat sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Lebih 10 program disusun setiap oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof dalam memastikan dapat mendekati seramai mungkin pengundi dalam tempoh berkempen.

Menurut beliau, kempen secara bersemuka dengan pengundi itu disifatkan amat penting kerana beliau dapat memperkenalkan diri secara peribadi kepada setiap pengundi.

Tambahnya, kempen secara turun padang itu juga membolehkan beliau mendengar dan melihat secara langsung isu serta masalah yang boleh diselesaikan bagi kemudahan pengundi DUN Gambir pada masa depan.

Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof menyantuni masyarakat sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar.

“Setiap pertemuan membuka ruang kepada saya untuk mendengar sendiri pandangan, harapan dan pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat.

“Bagi saya, inilah nilai sebenar sebuah kempen, bukan sekadar hadir untuk memperkenalkan diri, tetapi membina hubungan dan memahami denyut nadi masyarakat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, Mohd Nor yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ledang bertemu para peniaga, pengunjung dan masyarakat setempat di sekitar pekan Bukit Gambir di sini, dalam siri kempen beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, selain kempen secara fizikal, beliau juga tidak mengabaikan kempen menerusi platform media sosial khususnya dalam mendekati pengundi-pengundi muda.

Katanya, beliau perlu memastikan kempen secara bersemuka dan di platform media sosial berjalan seiring serta seimbag kerana kedua-duanya mempunyai segmen pengundi yang mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kemenangan seseorang calon.

Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

“Sebab itu kita memastikan dalam setiap kempen turun padang yang kita lakukan, ia turut mendapat liputan atau dihebahkan menerusi pelbagai platform media sosial yang kita ada supaya sampai kepada seluruh sasaran pengundi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, tiada istilah penat atau rehat bagi beliau sepanjang tempoh kempen pada PRN Johor ini meskipun program yang disusun bermula seawal pagi sehinggalah berlarutan ke tengah malam.

“Sebab saya mahu tunjukkan kepada pengundi di DUN Gambir yang saya hadir bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk mendengar, memahami dan berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast