Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof menyantuni masyarakat cina sambil mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

BUKIT GAMBIR – Rakyat Johor khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir perlu merebut peluang dan manfaat yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof berkata, manifesto bertemakan `Johor Untuk Semua’ itu menyentuh setiap aspek kehidupan ke arah kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup setiap rakyat.

Menurutnya, tawaran menerusi manifesto itu juga disifatkan realistik untuk dilaksanakan, bukannya sekadar janji manis atau gula-gula pilihan raya semata-mata.

Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof bercakap kepada media selepas menyantuni masyarakat cina sambil mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

“Rakyat Johor perlu meneliti setiap apa yang ditawarkan menerusi manifesto PH itu yang jelas bertujuan memastikan kehidupan dan masa depan mereka menjadi jauh lebih baik.

“Amat malang jika tawaran sebegitu hanya dipandang sebelah mata dan disia-siakan oleh seluruh bangsa Johor,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena PRN Johor ke-16.

Antara teras utama tawaran berkenaan ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.

Turut ditekankan menerusi manifesto itu adalah kemudahan pemilikan rumah; program sokongan dan pembangunan ekonomi untuk golongan muda; pemerkasaan sektor pendidikan serta menyokong ekosistem perniagaan tempatan.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, tidak ada sebab untuk rakyat Johor meragui kemampuan PH merealisasikan setiap yang dijanjikan menerusi manifesto itu seperti yang dipertikai musuh politik PH.

Ini kerana, jelasnya, para pemimpin PH sudah membuktikan kemampuan dan kejayaan dalam mentadbir negara di Putrajaya dengan pelbagai rekod cemerlang sama ada dari segi pembangunan, pelaburan dan kebajikan tehadap rakyat.

“Sudah semestinya, kejayaan di peringkat Pusat itu dapat juga diterjemahkan di Johor, malah lebih banyak lagi dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri Johor sealiran dengan pentadiran PH di Putrajaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast