KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Aziman Hadi Nazri mengumumkan peletakan jawatan daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Aziman yang juga Exco Armada Bersatu Nasional berkata, keputusan itu turut menyaksikan beliau melepaskan jawatan sebagai Exco Armada Nasional.
“Saya, Aziman Hadi Nazri, dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Exco Armada Nasional dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, rakan seperjuangan dan seluruh ahli yang memberikan kepercayaan serta sokongan sepanjang beliau menggalas amanah dalam parti.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli Armada di semua peringkat yang telah bersama berjuang demi memperkukuhkan parti dan membawa suara anak muda.
“Segala pengalaman, persahabatan dan ruang perjuangan yang diberikan akan sentiasa saya hargai,” katanya.
Bagaimanapun, Aziman tidak menyatakan sebab peletakan jawatan tersebut mahupun perancangan politiknya selepas ini.
Semalam, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat pusat selain mahu memberi komitmen penuh dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT pada minggu lalu. – MalaysiaGazette
















