Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Kerajaan menyokong sepenuhnya kerjasama strategik antara syarikat tempatan, Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama tersebut sebagai langkah memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara serta membangunkan teknologi pengeluaran roket dan misil tempatan.

“Kerjasama ini turut melibatkan persetujuan kerajaan Australia untuk memindahkan teknologi berkaitan kepada Malaysia, sekali gus membolehkan negara membina keupayaan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar pada masa hadapan.

“Pemindahan teknologi ini penting bagi memastikan Malaysia tidak berdepan sebarang sekatan pada masa hadapan selain memberi peluang kepada syarikat tempatan membangunkan industri pertahanan berteknologi tinggi secara lebih mampan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan bertemu penduduk di Tenggaroh di sini hari ini.

Baru-baru ini Mohamed Khaled megadakan lawatan kerja rasmi beliau ke Australia bertujuan memberikan sokongan kepada kerjasama berkenaan serta mendapatkan kepastian berkaitan pelaksanaan pemindahan teknologi yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Dalam lawatan rasmi selama tiga hari itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara Weststar Defence dan RTI yang ditandatangani Pengasas dan Pengarah Urusan Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim serta Pengasas RTI, Allan James Payne.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan tidak akan membangunkan sendiri aset pertahanan seperti roket, misil atau kelengkapan ketenteraan, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan dan kesediaan melabur dalam sektor itu.

Usaha itu katanya,merupakan pendekatan terbaik membina ekosistem industri pertahanan negara yang lebih kompetitif, selain menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan teknologi strategik.

Tambahnya, syarikat yang terlibat juga boleh memanfaatkan kemudahan latihan sedia ada termasuk kawasan latihan ketenteraan bagi tujuan pembangunan, ujian dan latihan berkaitan teknologi yang dibangunkan.

Melalui kerjasama itu, Malaysia dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.

Beliau berkata, pelaburan yang dilaksanakan Weststar Defence juga membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa.

Menurut Mohamed Khaled, pelaburan strategik itu bukan sahaja mampu memberikan pulangan signifikan kepada industri pertahanan negara, malah menjadi asas penting dalam memperkukuh keupayaan pertahanan Malaysia menghadapi cabaran keselamatan masa depan serta memastikan negara memiliki keupayaan teknologi pertahanan yang lebih berdaya saing untuk generasi akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast