Rafique Rashid

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan kekalahan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu ‘kemenangan yang tertangguh’ sambil menegaskan perjuangan parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) masih diteruskan.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, keputusan pilihan raya itu bukan penamat kepada perjuangan parti, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memperkukuhkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, Pejuang menghormati keputusan rakyat di Gambir dan seluruh 56 kerusi DUN Johor yang dipertandingkan kerana pilihan pengundi merupakan asas kepada amalan demokrasi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya memperoleh mandat rakyat selain menegaskan calon yang tewas masih mempunyai ruang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat pada masa hadapan.

“Pejuang merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya, petugas, ejen parti serta pimpinan semua parti komponen Perikatan Nasional yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen di Gambir.

“Kami juga berterima kasih kepada seluruh pengundi dan masyarakat Gambir atas layanan baik, kemesraan serta sokongan moral yang diberikan sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Rafique berkata, calon PN daripada Pejuang, Suraya Sulaiman akan terus berkhidmat kepada masyarakat Gambir tanpa mengira musim pilihan raya, termasuk turun padang mendengar permasalahan rakyat serta membantu penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau berpandangan keputusan PRN Johor 2026 perlu dijadikan isyarat penting untuk semua parti politik menilai semula pendekatan masing-masing selain mengadakan post mortem secara menyeluruh bagi memperbaiki kelemahan.

“Pejuang kekal komited memperkukuhkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang bersedia menjadi kerajaan alternatif (Government in Waiting). Keputusan di Gambir bukan penamat perjuangan, sebaliknya kemenangan yang masih tertangguh dalam usaha membela rakyat dan menghadapi PRU-16,” katanya.

Keputusan semalam menyaksikan Sahrihan Jani dari BN mendapat 13,427 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof dengan  mendapat 6,693.

Calon PN, Suraya Sulaiman pula hanya mendapat 1,888 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast