Norshida mendakwa BN yang memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Johor

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Dr Norshida Ibrahim berkata, kemenangan besar itu membuktikan rakyat Johor membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan, kestabilan politik serta keupayaan kerajaan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, rakyat memilih kesinambungan berbanding ketidaktentuan.

“Sepanjang tempoh kempen, pelbagai dakwaan, persepsi dan propaganda dimainkan. Namun akhirnya, rakyat Johor menilai dengan matang. Mereka memilih kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar berjanji; kepimpinan yang menyelesaikan masalah, bukan mencipta polemik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata, mandat yang diberikan itu juga membawa satu amanah besar kepada BN.

Jelasnya, kemenangan bukan noktah perjuangan, sebaliknya permulaan tanggungjawab yang lebih besar untuk terus merendah diri, mendengar suara rakyat dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat Johor.

“Tahniah kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan penuh hikmah. Terima kasih kepada semua jentera parti yang bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

“48 kerusi bukan sekadar angka. Ia adalah mesej jelas bahawa rakyat Johor mahukan kestabilan, kesinambungan pembangunan dan kepimpinan yang diyakini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast