KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, ucapannya yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai kenyataan perkauman atau cubaan menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu.
Beliau menegaskan, ucapan itu berpaksikan fakta sejarah yang pernah direkodkan dalam Parlimen British sejak 1946.
“Apa yang saya kata hanya begini: “Melayu tadak dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina… Melayu di mana? Melayu di sini saja.
“Saya kemudiannya mengulangi gagasan ini dengan merujuk sejarah pembentukan negara: “Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India… Dulu nama tanah ni Tanah Melayu. Ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.
“Ucapan ini saya sampaikan dalam konteks kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. Saya menghubungkan identiti sejarah Tanah Melayu dengan kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta keperluan masyarakat Melayu mengambil berat tentang perkembangan politik semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, dakwanya, ucapan yang disampaikan semasa Ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Julai lalu itu telah disalah tafsir apabila dikaitkan dengan sentimen perkauman.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, ungkapan tersebut bukanlah gagasan baharu yang diperkenalkannya pada tahun ini, sebaliknya mempunyai persamaan dengan kenyataan beberapa tokoh British dalam rekod hansard.
Katanya, Oliver Stanley pada 8 Mac 1946 menyifatkan Tanah Melayu sebagai tanah air tradisional orang Melayu, Lord Killearn pada 13 April 1949 menyebutnya sebagai tanah orang Melayu, manakala Lord Ogmore pada 29 Julai 1957 menyatakan Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air orang Melayu.
“Jika ungkapan yang membawa intipati sama diterima sebagai pengamatan sejarah apabila disebut oleh tokoh British, maka ia tidak sepatutnya dilabel sebagai perkauman apabila saya yang menyebutnya,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, penilaian terhadap sesuatu kenyataan perlu dibuat berdasarkan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya identiti atau kedudukan politik individu yang mengeluarkannya.
Perlu dijelaskan bahawa mengatakan Tanah Melayu ialah tanah air sejarah orang Melayu tidak sama dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.
Menurut Sanusi, dakwaan bahawa beliau mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina dan India di negara ini adalah tidak tepat kerana ucapan penuhnya tidak mengandungi sebarang seruan untuk menghalau, menolak atau menafikan hak kewarganegaraan mana-mana pihak.
“Catatan hansard pada 1946, 1949 dan 1957 membuktikan bahawa gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah serta satu-satunya tanah air orang Melayu telah lama diakui dalam rekod rasmi Parlimen British,” ujarnya.
Beliau berkata, kenyataannya hanyalah pengulangan dalam bahasa politik semasa terhadap pengakuan sejarah yang pernah dibuat secara terbuka dan tidak wajar dijadikan polemik politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















