ISKANDAR PUTERI – Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan yang menghadiahkan pingat emas pertama untuk kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 bakal menerima habuan daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pemberian itu sebagai penghargaan terhadap kejayaan atlet tersebut yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia.
“Atlet anak jati Johor itu mencipta sejarah dengan jumlah angkatan 273 kilogram (kg), bukan sekadar mengekalkan gelaran juara, malah memecahkan rekod kejohanan.
“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaan cemerlang mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel 2026 dalam acara angkat berat kategori 60kg.
“Untuk peringkat Majlis Sukan Negeri Johor, ada habuan menanti Aniq. Tapi untuk yang lebih besar itu, saya akan berbincang dengan Menteri Besar, Insya-Allah ada habuan dari negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Persatuan-persatuan Sukan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Katanya, kejayaan tersebut bukan milik Aniq seorang, tetapi milik diraikan seluruh Johor dan rakyat Malaysia.
Menurutnya, ini bukti anak Johor mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di persada antarabangsa apabila diberi ruang, sokongan dan peluang.
“Semangat juang, disiplin dan pengorbanan yang ditunjukkan Aniq wajar dijadikan contoh kepada seluruh atlet muda negeri ini, bahawa kejayaan datang daripada usaha yang tidak pernah berhenti,” ujarnya.
Selain Aniq, lima atlet Johor yang akan berjuang dalam Sukan Komanwel Glasgow 2026 ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nur Allysa Mohd Farid (berbasikal trek), Amirul Danial Abdul Rahim (Boling Padang), Muhammad Nabil Wafiq Zamri (para berbasikal trek) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkfli (para akuatik).
“Anda semua bukan sekadar membawa nama sendiri. Kalian membawa harapan bangsa Johor, doa keluarga, dan semangat sebuah negeri yang tidak pernah kenal erti mengalah,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















