Danni Rais menyantuni rakyat DUN Chennah dan Klawang di Sungai Rotan, di jelebu hari ini.

JELEBU – Berbaki dua hari sebelum hari pengundian, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelawang, Danni Rais Yatim mengajak pengundi membuat penilaian jujur terhadap prestasi wakil rakyat sedia ada yang memegang amanah selama dua penggal.

Menurutnya, tempoh lapan tahun sudah cukup panjang untuk rakyat menilai sama ada pembangunan yang diharapkan benar-benar dirasai atau masih banyak perkara yang tertangguh.

“Mereka telah ada wakil rakyat selama lapan tahun. Jadi rakyat boleh nilai sendiri prestasi beliau dan tanya diri masing-masing, apa lagi yang mereka mahukan untuk Klawang,” katanya.

Danni berkata, PN tidak datang dengan niat menafikan segala usaha yang telah dilakukan sebaliknya menawarkan nafas baharu bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati seluruh penduduk tanpa mengira latar belakang.

“Kita bukan hendak kata semua yang dibuat itu tidak baik. Dalam demokrasi yang matang, kita perlu berlaku adil tetapi masih banyak lagi yang boleh dilakukan.

“Sebab itu kita menawarkan peluang kepada rakyat untuk kembali memilih biru dan memberi peluang kepada kami membangunkan Klawang, bukan untuk satu kumpulan sahaja tetapi untuk seluruh penduduk,” katanya.

Beliau berkata, antara aspek memerlukan perhatian ialah pembangunan kawasan rekreasi, pengisian aktiviti belia serta usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya anak-anak muda terus melihat Jelebu sebagai tempat membina masa depan.

“Golongan belia perlu ada aktiviti yang sihat dan peluang pekerjaan yang baik. Kita mahu mereka terus mempunyai jiwa di Jelebu dan tidak berhijrah kerana kekurangan peluang,” tambahnya.

Danni turut mengingatkan tempoh berkempen hanyalah permulaan manakala cabaran sebenar ialah memenuhi amanah rakyat sepanjang lima tahun selepas pilihan raya.

“Kerja dua minggu berkempen ini mungkin yang mudah. Cabaran sebenar ialah lima tahun akan datang. Kalau rakyat beri peluang pada 1 Ogos ini, tanggungjawab kami adalah membuktikan kepercayaan itu dengan kerja, bukan sekadar janji,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Berbaki hanya dua hari sebelum pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan, Danni Rais menyifatkan perjalanan kempen beliau setakat ini berlangsung lancar dengan sambutan rakyat yang semakin memberangsangkan.

Menurut beliau, kempen yang kini memasuki hari ke-13 menunjukkan perkembangan positif apabila jentera PN dan Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya itu berjaya mempamerkan kesepaduan sepanjang tempoh berkempen.

Tambahnya beliau telah berusaha bertemu dan menyantuni pengundi seramai mungkin di DUN Klawang.

Pada PRN2023, Danni yang memasuki gelanggang pilihan raya buat kali pertama di DUN itu tewas kepada Bakri Sawir daripada Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 4,021 undi dalam saingan tiga penjuru.

Manakala Bakri memperoleh kemenangan apabila merekodkan 4,598 undi dengan majoriti tipis sebanyak 577.

Pada PRN kali ini, DUN Klawang yang mempunyai 13,355 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Bakri, Danni dan Muhammad Adib Musa mewakili Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast