Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad bersama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika menghadiri majlis doa selamat dan minum petang bersama masyarakat Sikamat di Jentera Daerah Mengundi (JDM) 2, Taman Desa Permai, Seremban, petang tadi.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad, memanfaatkan baki beberapa jam terakhir tempoh berkempen untuk memperkukuh gerak kerja operasi mengeluarkan pengundi putih menjelang hari pengundian esok.

Beliau berkata, hari terakhir kempen tidak lagi dipenuhi dengan ceramah besar-besaran, sebaliknya memberi keutamaan kepada program yang lebih santai dan bersifat mendekati masyarakat termasuk ziarah dari rumah ke rumah serta menghadiri majlis doa selamat.

Menurutnya, pendekatan itu dipilih bagi memastikan setiap saat terakhir kempen dimanfaatkan untuk bertemu seramai mungkin pengundi, termasuk memenuhi permintaan yang diterima menerusi media sosial.

“Hari terakhir ini kempen kita lebih tenang dan lebih ‘cool’. Kita banyak memenuhi masa dengan ziarah secara khusus dan menghadiri program doa selamat bersama masyarakat.

“Pada masa sama saya juga cuba memenuhi permintaan penduduk yang menghubungi melalui Facebook, Instagram dan pelbagai platform media sosial supaya singgah ke rumah mereka sebelum kempen berakhir,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Nor Azman menghadiri majlis doa selamat dan minum petang bersama masyarakat Sikamat di Jentera Daerah Mengundi (JDM) 2, di sini, petang tadi.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika menghadiri majlis doa selamat dan minum petang bersama masyarakat Sikamat di Jentera Daerah Mengundi (JDM) 2, Taman Desa Permai, Seremban, petang tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mengulas fokus utama menjelang tamat tempoh berkempen pada tengah malam ini, Nor Azman berkata, seluruh jentera kini beralih kepada operasi memastikan penyokong PH keluar mengundi.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan setiap undi yang dikenal pasti dapat diterjemahkan di peti undi.

“Perancangan terakhir saya adalah memperkemaskan urusan mengeluarkan pengundi. Kita mahu memastikan semua pengundi yang akan menyokong kita dapat keluar mengundi esok.

“Kita memberi tumpuan kepada apa yang kita panggil sebagai pengundi putih dan sasaran kita ialah memastikan seramai mungkin daripada mereka keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan anak perantau yang pulang ke Sikamat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi supaya mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

“Bagi mereka yang sedang dalam perjalanan pulang atau akan pulang malam ini, saya nasihatkan supaya berhati-hati di jalan raya.

“Semoga semuanya selamat sampai dan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi esok,” katanya.

Mengulas ramalan cuaca yang dijangka berubah pada hari pengundian, Nor Azman menggesa pengundi keluar lebih awal bagi mengelakkan gangguan sekiranya hujan turun pada sebelah petang.

“Ramalan mengatakan cuaca pada waktu pagi lebih baik manakala sebelah petang mungkin hujan. Jadi saya menggalakkan semua pengundi keluar awal pada waktu pagi.

“Kalau perlu, bawalah payung atau kelengkapan yang sesuai kerana keadaan cuaca sekarang tidak menentu. Kita berdoa semoga proses pengundian berjalan lancar,” katanya.

DUN Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Nor Azman mewakili PH, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu) dan Datuk Razali Abu Samah (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast