Chan Chun Kuang.

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang mengecam sekeras-kerasnya kejadian rusuhan bersenjatakan yang berlaku di Air Putih pada 10 Ogos lalu sehingga menyebabkan dua individu cedera.

Beliau berkata, kejadian berkenaan amat membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan kecederaan malah turut mengakibatkan kerosakan terhadap kenderaan milik salah seorang mangsa serta sebuah premis perniagaan.

Menurutnya, penggunaan senjata dan tindakan keganasan tidak boleh diterima kerana boleh mengancam nyawa serta keselamatan orang awam.

“Saya memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian rusuhan bersenjatakan yang berlaku di Air Putih pada 10 Ogos 2026 sehingga menyebabkan dua orang mangsa cedera.

“Sebarang bentuk gangsterisme, keganasan dan kegiatan kongsi gelap tidak boleh diterima dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chun Kuang berkata, penglibatan golongan muda dalam kejadian seumpama itu turut menimbulkan kebimbangan dan perlu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya usaha mencegah mereka daripada terjebak dengan gangsterisme serta kongsi gelap diperkukuhkan.

Katanya, keluarga, sekolah dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam menyediakan persekitaran yang sihat kepada golongan muda, selain mengenal pasti lebih awal pengaruh atau kegiatan yang berpotensi membawa mereka ke arah keganasan dan jenayah.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan pantas dan tegas mengesan serta menahan enam suspek dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

Menurutnya, tindakan pantas pihak berkuasa penting bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara serta memberi keyakinan kepada orang awam bahawa sebarang bentuk keganasan tidak akan dibiarkan.

Beliau turut menyeru orang ramai memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

“Yang paling utama, keselamatan dan ketenteraman awam mesti dipelihara. Jangan kita membiarkan budaya gangsterisme dan keganasan menjadi normal dalam kalangan anak-anak muda atau masyarakat kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast