KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha membuka ruang lebih luas kepada gerakan mahasiswa.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah itu merupakan perkembangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa yang memperjuangkan kampus lebih bebas, demokratik dan menghormati hak mahasiswa untuk berfikir, bersuara serta berorganisasi.
Menurutnya, sejarah gerakan mahasiswa Malaysia sejak penghujung 1960-an dan awal 1970-an membuktikan mahasiswa bukan sekadar golongan yang menuntut ilmu di dewan kuliah, sebaliknya turut memainkan peranan dalam membangkitkan isu kemiskinan, ketidakadilan sosial dan nasib rakyat.
Namun, katanya, ruang mahasiswa kemudiannya semakin dibatasi melalui AUKU dan pelbagai sekatan terhadap kegiatan serta penglibatan mereka dalam wacana awam.
“Justeru, keputusan Kerajaan Madani untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU harus dilihat dalam konteks sejarah perjuangan yang panjang ini.
“Mahasiswa tidak harus dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan, sebaliknya diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebebasan universiti tidak bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab, sebaliknya perbezaan pandangan perlu diurus melalui ilmu, hujah dan dialog.
Katanya, AMK percaya pemansuhan AUKU perlu menjadi permulaan kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh, termasuk memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan, kebebasan bersuara serta ruang mahasiswa menentukan sendiri arah gerakan mereka.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil menyeru mahasiswa dan anak muda Malaysia melihat perkembangan tersebut sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan kepada perubahan sebenar.
“Reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta. Masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa supaya terus memainkan peranan sebagai kuasa semak dan imbang kepada negara.
“Jangan berhenti bersuara. Jangan berhenti berfikir. Jangan berhenti menjadi kuasa semak dan imbang kepada negara,” ujarnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.
Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan. – MalaysiaGazette
Anwar umum akan mansuh AUKU 1971 beri kebebasan pada mahasiswa















