KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu menahan dua bot nelayan tempatan selepas dikesan melanggar Akta Perikanan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan pada 4 hingga 14 Ogos lalu.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata operasi yang dilaksanakan bersama Jabatan Perikanan (DOF) Lahad Datu di perairan Lahad Datu dan Kunak turut memeriksa sebanyak 211 bot nelayan tempatan.
Menurut beliau, operasi Siri 5/2026 memberi tumpuan kepada pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru serta pemeriksaan penggunaan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan di perairan Lahad Datu.
“Pemeriksaan membabitkan 90 individu terdiri daripada 58 warga tempatan dan 32 warga asing.
“Daripada jumlah tersebut, dua bot nelayan tempatan ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Kesalahan yang dikesan membabitkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan serta menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari pulau terhampir.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM206,000,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Dzulfikhar berkata, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram serta memelihara kelestarian sumber perikanan negara.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 – MalaysiaGazette















