KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) membuat dua transaksi pindahan wang berjumlah RM19.59 juta kepada Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet), pada Mac 2018.
Perkara itu disahkan saksi pendakwaan keempat, Pengurus Cawangan CIMB Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee, 49, menerusi pernyataan bertulisnya.
Menurut beliau, berdasarkan semakan terhadap penyata akaun bank milik Khazanah, transaksi pertama direkodkan pada 23 Mac 2018 membabitkan RM7.848 juta, manakala transaksi kedua pada 26 Mac 2018 berjumlah RM11.742 juta.
“Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua transaksi tersebut adalah kira-kira RM19 juta.
“Pembayaran bagi kedua-dua transaksi ini dilakukan melalui pemindahan wang secara rentas bank (interbank transfer) dan diproses sepenuhnya oleh pihak bank,” katanya.
Lee berkata, semakan turut dibuat terhadap penyata akaun CIMB milik Khazanah bagi tempoh 31 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada pemindahan wang lain ke akaun milik Fashion Valet sepanjang tempoh berkenaan, selain dua transaksi pada 23 dan 26 Mac 2018.
Sementara itu, saksi pendakwaan ketiga, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Harshini Radhakrishman, mengesahkan Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, merupakan pengarah FashionValet.
Menurutnya, Fadzarudin dilantik sebagai pengarah pada 13 Disember 2012, manakala Vivy dilantik ke jawatan sama pada 29 September 2010.
Beliau berkata, selain memegang jawatan pengarah FashionValet, pasangan itu turut merupakan pengarah syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. (30M).
“Hasil semakan yang saya lakukan dalam sistem Company Business System (CBS) mendapati tiada sebarang pertukaran status pengarah melibatkan Fadzarudin Shah dan Vivy Sofinas bagi Syarikat FV dan Syarikat 30M bagi tempoh 2012 sehingga 2024.
“Semakan juga mendapati tiada Borang 49 atau dokumen Seksyen 58 yang difailkan berhubung sebarang perubahan status pengarah bagi kedua-dua penama tersebut,” katanya ketika prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen hari ini.
Harshini berkata, bagi syarikat 30M, Fadzarudin dan Vivy dilantik sebagai pengarah pada 9 Disember 2013.
Katanya, tiada rekod menunjukkan berlaku sebarang perubahan terhadap status pelantikan mereka sebagai pengarah selepas tarikh tersebut.
Pada 24 Julai yang lalu, saksi pendakwaan kedua iaitu Penolong Pengurus Maybank, Cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, 55 memberitahu mahkamah terdapat transaksi pemindahan wang RM20.3 juta dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) ke Syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Jelasnya, pemindahan dilakukan menerusi dua transaksi pemindahan wang itu dibuat pada 4 Jun 2018 dan 20 Dis 2018.
Saksi pertama pada 20 Julai pula iaitu Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Azizan Hassan, 45, terdapat dua transaksi kemasukan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun Fashion Valet Sdn Bhd ke dalam akaun bank milik syarikat 30 Maple Sdn Bhd, lapan tahun lalu.
Katanya, menerusi semakan terhadap penyata akaun CIMB Bank milik syarikat 30 Maple mendapati kemasukan wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM3 juta daripada akaun Public Bank milik FashionValet dibuat secara dalam talian pada 21 Ogos 2018.
Vivy dan suaminya didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet. – MalaysiaGazette















