Gambar Hiasan

 

KUALA LUMPUR – Perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu dilihat dalam konteks usaha berterusan memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban dan keyakinan terhadap institusi negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan sebarang tindakan berkaitan hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang serta diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Katanya, dari perspektif ekonomi, pengukuhan tatakelola TH penting mengambil kira skala dan peranan institusi itu yang kini mengurus amanah lebih 9.8 juta pendeposit.

“Dengan pelaburan melebihi RM96 bilion, tatakelola Tabung Haji mempunyai implikasi yang lebih luas kepada keyakinan terhadap institusi dan pasaran domestik.

“Keutamaan ialah memastikan pengurusan pelaburan, disiplin kewangan dan pengurusan risiko terus diperkukuh supaya kepentingan pendeposit dapat dilindungi secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga awal Ogos 2026, TH memaklumkan lebih 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan, manakala pelaksanaan baki syor penambahbaikan sedang diteruskan.

Menurut Akmal Nasrullah, usaha memperkukuh institusi itu selari dengan kerangka Ekonomi Madani dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Katanya, RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” meneruskan aspirasi Ekonomi Madani melalui usaha meningkatkan siling pertumbuhan ekonomi, menaikkan lantai darjat hidup rakyat serta memperkukuh tatakelola yang baik.

“Pengukuhan institusi menjadi semakin penting ketika ekonomi Malaysia sedang mencatat momentum pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi negara berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini mencapai 5.7 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, momentum berkenaan perlu disokong institusi yang berfungsi dengan baik, kepastian dasar dan pelaksanaan pembaharuan secara konsisten bagi mengekalkan keyakinan perniagaan serta pelabur, selain memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan RMK13, khususnya untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing, mempercepat pelaburan berkualiti serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi supaya pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan darjat hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here