Datuk Ir. Razali Kassim

KUANTAN– Sebanyak 53 unit ambulans baharu jenis B dijangka diterima negeri ini tahun depan bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, penambahan aset ambulans amat penting bagi memastikan rakyat, terutama di kawasan yang jauh dari hospital, mendapat akses kepada perkhidmatan kecemasan yang lebih pantas dan berkesan.

Menurut ADUN Muadazam Shah itu urusan pengagihan ambulans di Klinik Kesihatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM sedang melaksanakan proses perolehan ambulans baharu melalui tender perolehan berpusat, dengan Pahang dijangka menerima 53 unit Ambulans Type B.

“Agihan ambulans baharu itu dijangka dilaksanakan pada 2027, tertakluk kepada kelulusan, pemuktamadan proses perolehan serta jadual penghantaran oleh pembekal yang dilantik,” katanya pada Mesyuarat ke-2 Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke -15, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, berhubung langkah dan perancangan kerajaan bagi memastikan Klinik Kesihatan di Pahang, khususnya kawasan luar bandar seperti DUN Tahan, mempunyai sekurang-kurangnya sebuah ambulans yang berfungsi sepenuhnya.

Menurutnya, penempatan, penggantian dan penyelenggaraan ambulans dilaksanakan berdasarkan keperluan perkhidmatan, jumlah penduduk, liputan kawasan, kadar penggunaan serta peruntukan yang diluluskan KKM.

Ketika ini, jelas beliau, sebanyak 55 unit ambulans berada dalam keadaan baik dan sedang beroperasi di 94 Klinik Kesihatan di seluruh Pahang.

Bagi DUN Tahan pula, katanya, sebuah ambulans telah ditempatkan di Klinik Kesihatan Kuala Tahan bagi memberikan perkhidmatan kecemasan di kawasan liputan operasi.

Razali berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan terus menyuarakan keperluan penambahan aset ambulans kepada Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, usaha memperkukuh kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan keperluan penduduk dan perkembangan semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here