KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Hakim Suzana Hussin menetapkan jumlah itu selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan kes yang bermula sekitar 9.30 pagi tadi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah.
Beliau berhujah jumlah itu munasabah mengambil kira keseriusan pertuduhan serta bagi memastikan kehadiran tertuduh sepanjang prosiding.
Pendakwaan turut membangkitkan kekerapan perjalanan Ismail Sabri ke luar negara, termasuk lawatan ke Jepun selama sembilan hari sekitar September hingga Oktober, lawatan kerja ke China dari 13 hingga 20 September serta ibadah umrah pada Disember.
Farah Ezlin turut menolak dakwaan pembelaan pertuduhan berkenaan mempunyai unsur niat jahat atau malafide dengan merujuk keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Teo Chee Kong.
Menurut pendakwaan, prosiding berkaitan penyitaan harta dan pendakwaan terhadap seseorang merupakan dua proses berbeza, manakala kuasa mendakwa kekal dalam bidang kuasa Pendakwa Raya.
Pasukan pembelaan Ismail Sabri diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad bersama Datuk Seri Rajan Navaratnam; Ragunath Kesavan; Joshua Tay; Tan Xu Yin; Aswath Ramakrishnan dan Sanjey G. Sangkar.
Pihak pembelaan membantah permohonan supaya pasport diserahkan dengan alasan Ismail Sabri mempunyai beberapa urusan rasmi di luar negara yang disokong dokumen berkaitan.
Mereka turut memberi jaminan bahawa Ismail Sabri akan terus hadir ke mahkamah apabila diperlukan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri daripada proses perundangan.
Pembelaan berkata, sekiranya beliau perlu ke luar negara, permohonan sewajarnya boleh dibuat kepada mahkamah bagi mendapatkan pelepasan pasport.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana Hussin menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan menolak permohonan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan.
Mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan Ismail Sabri berisiko melarikan diri.
Ismail Sabri didakwa memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi notis SPRM dengan gagal mengisytiharkan sejumlah hartanya, termasuk wang tunai dan pelbagai mata wang asing, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak serta syiling emas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















