KUALA LUMPUR – Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayahnya dijadikan tempat persembunyian pihak yang menggunakan kekerasan dan menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan Malaysia memandang serius perkembangan yang berlaku di selatan Thailand serta kekal komited menyokong usaha membawa perdamaian di selatan negara jiran itu.
“Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak akan membenarkan wilayah negara kita dijadikan tempat perlindungan dan juga persembunyian mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan dan menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
“Kita akan berikan segala kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand untuk memastikan ini tidak berlaku,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperketat kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan insiden di selatan Thailand tidak merebak ke dalam negara.
“Kita akan pastikan tak ada anasir-anasir yang menyusup (masuk ke Malaysia),” katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan pihak ATM telah mengemukakan cadangan nama kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan sebagai fasilitator proses damai selatan Thailand selepas khidmat Datuk Mohd Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia tamat baru-baru ini.
“Daripada ATM, kita telah cadangkan nama-nama untuk pertimbangan dan kita berharap supaya fasilitator ini dapat dilantik supaya kita dapat membantu semua pihak untuk kita membawa perdamaian di selatan Thailand.
“Kita tahu bahawa ini bukan satu kerja mudah. Kita telah pun lama terlibat dalam soal ini dan kita juga sedar bahawa terdapat pelbagai kumpulan dan pelbagai pihak yang perlu dibawa untuk bersama-sama jika kita ingin memastikan perdamaian dapat tercapai,” katanya.
Pada Sabtu lepas, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam hingga 5 pagi selepas berlaku lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar.
Letupan kuat di Narathiwat dalam kejadian itu turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang. – BERNAMA
















