KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membantu dalam usaha kemanusiaan susulan banjir besar yang melanda Nepal, tertakluk kepada keputusan kerajaan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata ATM bersedia menyumbang kepakaran dan keupayaan dalam misi kemanusiaan serta berkaitan keamanan sekiranya penglibatannya diperlukan.
“ATM bersedia untuk menyumbang kepakaran dan keupayaan kepada misi-misi berkaitan keamanan berhubung banjir di Nepal, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan sekiranya mereka memutuskan penglibatan ATM diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Terdahulu, Bernama melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu memaklumkan sebanyak 54 rakyat Malaysia gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal semalam.
Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet itu berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.
Bencana tersebut mengganggu rangkaian komunikasi serta memutuskan akses jalan raya utama yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan ibu negara, Kathmandu, sekali gus menyukarkan perhubungan dan pergerakan keluar masuk mangsa terjejas. – BERNAMA
















