Dr Rossita Shapawi (tiga dari kiri) merakamkan gambar bersama peserta 26th Internasional Students Design Camp (D-Camp) sebelum peserta berlepas ke Korea Selatan.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jaringan dan penglibatan di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam 26th International Students Design Camp (D-Camp) yang berlangsung di Korea Selatan.

Menurut kenyataan dari Fakulti Kejuruteraan, program anjuran Innovation Centre for Engineering Education (ICEE), Jeonbuk National University, Korea Selatan itu menghimpunkan peserta daripada 18 universiti dari enam negara, iaitu Korea Selatan, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Vietnam dan Singapura.

Antara institusi pendidikan tinggi dari Korea Selatan yang mengambil bahagian ialah Kunsan National University, Gwangju University, Jeonbuk National University, Jeonju University, Jeju National University, Wonkwang University, Chungnam National University (CNU), Chungbuk National University (CBNU), Soonchunhyang University dan Hoseo University.

Malaysia pula diwakili oleh UMS dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Indonesia melibatkan Institut Teknologi Bandung (ITB), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) dan Universitas Muhammadiyah Surakarta.

Penyertaan antarabangsa turut melibatkan National Cheng Kung University (NCKU) dari Taiwan, Hanoi University of Science and Technology (HUST) dari Vietnam serta Nanyang Technological University (NTU) dari Singapura.

“Penyertaan institusi dari pelbagai negara itu menyediakan platform kepada peserta untuk bertukar ilmu, berkongsi idea serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang reka bentuk, inovasi dan kejuruteraan.

“Bagi penyertaan UMS tahun ini, seramai empat wakil terdiri daripada dua pelajar dan dua tenaga akademik menyertai program berkenaan.

“Dua pelajar UMS yang terlibat ialah Clearin Johinis daripada Program Geologi, Fakulti Sains dan Teknologi serta Benny A/L Gelini daripada Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, delegasi tenaga akademik UMS terdiri daripada Penyelaras Program Alam Bina, FKJ, Prof. Ar. Nurakmal Abdullah @ Goh Tuo Ho dan ahli akademik dari FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah.

Program selama tujuh hari yang berakhir 29 Ogos ini menjadi platform kepada peserta UMS untuk memperluas pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta memperoleh pengalaman antarabangsa, selain memperkukuh jaringan akademik dan hubungan kerjasama antara UMS dengan institusi pendidikan tinggi di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here