KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa beberapa helaian kertas yang diperiksa berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir menunjukkan persamaan dengan tulisan tangan seorang individu dikenal pasti sebagai “Wina”.
Pemeriksa dokumen forensik Tay Eue Kam berkata, tulisan pada helaian Y9B, Y10A dan Y10B memiliki persamaan dengan Wina berdasarkan kesan yang ditemukan pada halaman 50i jurnal “Love And Peace” berwarna hijau zaitun yang ditandakan sebagai WK9.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina.
Tay berkata, kesan lekukan pada halaman 50i WK9 didapatkan semula menggunakan Alat Pengesan Elektrostatik (ESDA), dan bersetuju bahawa ia mungkin berasal daripada halaman yang hilang atau terkoyak, atau halaman lain yang sebelum ini diletakkan di atas halaman 50.
Bagaimanapun, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai spesimen tulisan tangan sebenar Wina untuk dibuat perbandingan.
“Saya tidak mempunyai spesimen tulisan (sebenar) Wina tetapi apa yang saya ada ialah tulisan tangan yang dinyatakan sebagai milik Wina pada halaman 50i dokumen WK9,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di sini hari ini.
Ditanya sama ada Wina wujud atau sebaliknya, Tay menjawab: “Saya tidak tahu”.
Beliau juga berkata Y9B, Y10A dan Y10B diletakkan dalam kumpulan yang sama susulan perbandingan membabitkan catatan daripada Y1A hingga Y15B.
Laporan beliau menyebut terdapat perbezaan antara catatan tulisan tangan dalam kumpulan itu dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina sekali gus memberikan keterangan yang kukuh bahawa Zara Qairina bukanlah penulis catatan berkenaan.
Kepada soalan sama ada Y9B, Y10A dan Y10B ditulis oleh Wina, Tay berkata ciri-ciri tulisan itu adalah serupa dengan Wina, iaitu individu yang dikenal pasti sebagai penulisnya.
Mengenai kandungan Y9B yang menyentuh perkara berkaitan ibu Zara Qairina, Tay berkata beliau bukan orang yang tepat untuk menjelaskan perkara itu.
Semasa sesi soal jawab lanjut, saksi itu berkata laporannya tidak mengandungi carta perbandingan khusus bagi Y9B, Y10A dan Y10B walaupun beliau menegaskan bahawa persamaan dan perbezaan telah dianalisis.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Prosiding inkues dijadualkan bersambung dari 7 hingga 11 Sept, dengan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung dan Pegawai Bahagian Pemeriksaan Dokumen Jabatan Kimia Nurul Atiqah Mohd Noh dijangka dipanggil semula untuk memberi keterangan.
Menyusul selepas itu keterangan bapa dan kakak tiri Zara Qairina manakala pemeriksaan di lokasi kejadian atau locus in quo ditetapkan pada 5 Okt ini. – BERNAMA
















