SERDANG – Pengunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 digalakkan memakai pelitup muka susulan keadaan jerebu ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, nasihat itu penting sebagai langkah penjagaan kesihatan memandangkan MAHA 2026 kini mula menerima kehadiran orang ramai yang semakin tinggi.
Menurut beliau, sambutan pada hari pertama semalam menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 140,543 pengunjung direkodkan dan melibatkan 28,122 kenderaan.
“Saya mengharapkan para pengunjung kalau boleh digalakkan memakai mask kerana keadaan jerebu dan cuaca.
“Kalau dapat mereka datang membawa ‘mask’ supaya dapat kita meningkatkan penjagaan terhadap kesihatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Mohamad menambah, penganjuran MAHA 2026 menyasarkan empat juta pengunjung, 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program sepanjang 10 hari penganjuran bermula semalam.
Katanya, antara fokus strategik yang diketengahkan ialah penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), sistem pengairan pintar, ekosistem produk agromakanan, agropelancongan dan pertanian lestari, termasuk penerapan tanaman tahan iklim,
amalan hijau dan varieti baharu.
“Aspek kelestarian turut diberi penekanan melalui pameran dan pengisian berkaitan
penggunaan tenaga elektrik secara cekap, pengurusan sisa buangan dan makanan,
pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pertanian regeneratif serta amalan kitar semula.
“Pendekatan ini penting dalam memastikan sektor pertanian terus berdaya
tahan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pada masa sama membuka
peluang kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui amalan terbaik dan lestari
untuk memperluas pasaran domestik serta menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

















