GEORGE TOWN – Video memaparkan seorang lelaki dipercayai sengaja menghampiri kenderaan di jejambat berhampiran Hospital Lam Wah Ee di sini sebelum berlakon seolah-olah dirinya dilanggar dipercayai bagi mendapatkan pampasan, tular di media sosial.
Kejadian itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong yang kemudian mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian terbabit.
Beliau berkata, hasil semakan difahamkan individu terbabit sudah ditahan polis bagi membantu siasatan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Balai Polis Jelutong dan Ibu Pejabat Polis Daerag (IPD) Timur Laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan.
“Saya difahamkan pelaku tindakan itu telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Ah Teong menyeru orang ramai lebih berhati-hati sekiranya berdepan situasi seumpama itu bagi mengelak menjadi mangsa. – MalaysiaGazette
















