KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mempersoalkan kelewatan membuat keputusan berhubung masa depannya sambil mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari tidak memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perkara itu.
“Saya harap saya tidak perlu menyatakan perkara ini, akan tetapi maaf saya katakan yang pihak Menteri KBS, YB Taufiq Johari sendiri tidak memainkan peranan penting beliau didalam isu ini.
“Adakah beliau lebih selesa menggunakan pendekatan mendengar sebelah pihak sahaja terutamanya ‘dinosaur-dinosaur’ di sekelilingnya?” katanya dalam penjelasan sembilan muka surat di media sosial hari ini.
Kenyataan tegas itu dibuat selepas Mohammed Taufiq dilaporkan berkata, keputusan mengenai masa depan Azizulhasni hanya akan dibuat selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya, dengan mengambil kira keperluan operasi selain faktor kewangan.
Mengulas lanjut, Azizulhasni hasni turut berharap kerajaan tidak lagi melantik individu tanpa pengalaman mencukupi untuk memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam organisasi sukan, kerana keputusan sedemikian didakwa memberi kesan besar kepada atlet dan pembangunan sukan negara.
“Saya berharap pihak kerajaan selepas ini tidak lagi meletakkan seseorang yang tidak berpengalaman untuk terus menjadi seorang pemimpin besar di dalam sesebuah organisasi.
“Saya tahu kenyataan saya ini akan menimbulkan kemarahan sesetengah pihak. Perkara ini tidak akan berlaku jika ditangani pada peringkat awal secara profesional dan cekap,” ujarnya.
Azizulhasni turut memberi bayangan akan menamatkan karier antarabangsa sekiranya kerajaan gagal memberikan kepastian mengenai hasrat untuk meneruskan khidmatnya sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). – MalaysiaGazette
















