MELAKA – “RM107,000 dalam masa enam jam…tanpa birokrasi, tanpa surat permohonan, tanpa meja mesyuarat… tak ada karipap, bihun goreng, tak ada teh O panas… cuma satu video…rasa macam nak pindah Duyong je…”
Demikian reaksi pengguna Facebook, Zaujy Miela, yang kagum dengan sambutan orang ramai terhadap usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem membantu seorang kanak-kanak yang memerlukan implan koklea.
Lebih mengagumkan, kutipan bagi membantu Nur Amanda Sofea Muhammad Syafiq Ikhwan, 4, yang memerlukan kira-kira RM125,000 untuk kos itu, ditutup selepas berjaya mengumpul RM107,183 dalam tempoh hanya enam jam.
Jumlah berkenaan tidak termasuk RM30,000 yang diluluskan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan RM8,000 yang terlebih dahulu dikumpulkan keluarga serta kenalan rapat.
Kejayaan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan sambutan luar biasa tersebut sebagai bukti wujudnya kepercayaan terhadap Mohd Noor Helmy untuk menggerakkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Komen berkenaan turut mendapat sokongan pengguna lain, termasuk Ji Dan Xiang yang menyifatkan kelebihan utama usaha tersebut ialah sumbangan dapat disalurkan sepenuhnya kepada tujuan asal tanpa kos operasi.

“Dana 100 peratus, satu sen pun tidak dibazirkan,” katanya selain turut menyambut pandangan netizen lain yang mengakui mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan besar untuk membantu, namun tetap mampu menyumbang apabila dilakukan secara bersama.
Reaksi itu turut disusuli komen netizen lain yang mengakui mereka memberikan sumbangan atas dasar kepercayaan terhadap Mohd Noor Helmy.
“Alhamdulillah kami juga tak kaya tapi kami memberi kerana keyakinan kepada Allah dan kepercayaan kepada YB Mohd Noor Helmy,” kata Ann Fardan.
Seorang lagi pengguna, Abdul Rahim Mohamad Rawi dari Pulau Pinang, pula mengingatkan bahawa kepercayaan masyarakat tidak datang dalam sekelip mata, sebaliknya dibina melalui usaha yang konsisten.
“Kepercayaan bukan datang sekelip mata. Ianya perlu diusaha dalam masa yang lama,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa Nur Amanda Sofea, Muhammad Syafiq Ikhwan dan Norasmida, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan, doa dan sokongan kepada anak mereka.
Menerusi mesej yang dikongsikan Mohd Noor Helmy di Facebook, pasangan itu berkata, dana diperlukan untuk Amanda kini telah mencukupi selepas mengambil kira kutipan orang ramai.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kami ucapkan kepada YB Mohd Noor Helmy serta seluruh team yang banyak membantu dalam berkongsi dan menyebarkan maklumat mengenai Amanda,” kata mereka.
Menurut mereka, pihak keluarga akan meneruskan proses implan di telinga Amanda secepat mungkin selepas mendapat tarikh daripada doktor pakar.
Amanda dikesan mengalami masalah pendengaran ketika berusia 18 bulan dan memerlukan implan koklea selepas saraf gegendang telinganya mengalami kerosakan.
Mengulas kejayaan kutipan berkenaan, Mohd Noor Helmy dengan rendah diri berkata, beliau tidak mempunyai wang yang banyak, sebaliknya hanya mempunyai kepercayaan orang ramai.
“Saya tak ada duit yang banyak. Saya hanya ada kepercayaan orang.
“Insya-Allah akan saya jaga dan gunakan sebaik mungkin untuk memberi manfaat kepada yang memerlukan. Terima kasih kepada mereka yang percayakan saya. Terima kasih para penyumbang,” katanya. – MalaysiaGazette
















