ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki bersama peserta yang terdiri daripada Persatuan Chef Wanita Malaysia dan penduduk bergambar bersama plak pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records selepas menyiapkan Pulut Semangat Malaysia Terpanjang sempena Hari Kebangsaan 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Indah, Seri Kembangan. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

SERI KEMBANGAN- Bukan sekadar pulut yang terbentang sepanjang lebih 640 meter, tetapi turut terjalin semangat 120 wanita ‘kulinari’ dari seluruh negara yang berganding bahu mengangkat warisan makanan tradisional dan meraikan perpaduan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Lebih manis, usaha itu berjaya mencipta rekod apabila mendapat pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records, sekali gus menjadikan Pulut Semangat sebagai simbol kebersamaan wanita Malaysia.

Peserta yang terdiri daripada Persatuan Chef Wanita Malaysia dan penduduk tekun menyiapkan Pulut Semangat Malaysia Terpanjang sempena Hari Kebangsaan 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Indah, Seri Kembangan. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia, Chef Renuka Devi Ramachandran berkata, idea menghasilkan Pulut Semangat itu tercetus daripada keinginan untuk menghidupkan kembali warisan makanan yang semakin dilupakan, selain menghimpunkan wanita dalam bidang kulinari dari seluruh negara.

“Objektif projek ini adalah untuk memartabatkan wanita dalam bidang kulinari. Kami mahu menggabungkan semua wanita, bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh Malaysia.

Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia, Renukadevi Ramachandran berucap pada Program Pulut Semangat Malaysia Terpanjang sempena Hari Kebangsaan 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Indah, Seri Kembangan. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

“Pulut dipilih kerana ia adalah antara warisan yang semakin ditinggalkan dan dilupakan. Jadi, kami mahu mengangkatnya semula sebagai simbol semangat dan kebersamaan,” katanya kepada MalaysiaGazette pada kemuncak program, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan Naib Presiden Persatuan Chef Wanita Malaysia, Fazalina Ismail.

Renuka berkata, projek yang pada awalnya menyasarkan penghasilan Pulut Semangat sepanjang 500 meter itu akhirnya melepasi sasaran apabila mencapai lebih 640 meter menerusi lapan lorong.

Katanya, pencapaian itu tidak mungkin terhasil tanpa kerjasama peserta yang datang dari Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Perlis, Melaka dan Terengganu.

“Sebanyak 1,200 kilogram beras pulut digunakan. Persiapan pula bermula sejak 29 Ogos membabitkan kerja pembersihan, penyediaan bahan, mencuci, merebus dan mengukus sebelum proses penyediaan diteruskan,” katanya.

Renuka berkata, pengiktirafan yang diterima bukan matlamat utama program berkenaan, sebaliknya lebih penting ialah peluang untuk menghimpunkan wanita daripada pelbagai negeri dalam satu usaha yang membawa mesej kebersamaan.

“Tujuan kami bukan untuk bermegah atau mengejar sijil. Matlamat yang lebih besar ialah untuk bersatu dan menghargai wanita yang selama ini bertungkus-lumus tetapi tidak semestinya mendapat penghargaan,” katanya.

Sementara itu, Wong Siew Ki menyifatkan program berkenaan sebagai contoh bagaimana aktiviti berasaskan komuniti mampu mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang.

ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki bercakap ketika ditemubual pada Program Pulut Semangat Malaysia Terpanjang sempena Hari Kebangsaan 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Indah, Seri Kembangan. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

Beliau berkata, kerjasama antara Persatuan Chef Wanita Malaysia dan komuniti Seri Kembangan membuka ruang kepada penduduk setempat untuk keluar daripada rutin harian dan bersama-sama meraikan sambutan kemerdekaan.

“Program sebegini sepatutnya diperbanyakkan supaya lebih ramai penduduk dapat bersama-sama menyertai aktiviti yang mengeratkan hubungan dan meraikan perpaduan.

“Tidak semestinya kita perlu menganjurkan program untuk memecahkan rekod. Apa yang lebih penting ialah program yang memberi manfaat kepada penduduk tanpa mengira kaum, agama, bangsa atau jantina,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua persatuan dan agensi yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan serta berharap lebih banyak program kemasyarakatan dapat dianjurkan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here