KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya mengutamakan usaha untuk menangani isu kekurangan doktor, jururawat dan petugas kesihatan sebelum memperluas pelaburan dalam sistem digital kesihatan awam.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Cally Ting berkata, pendigitalan sistem kesihatan sememangnya wajar disokong kerana mampu mempercepat urusan pesakit dan mengurangkan beban pentadbiran, namun ia tidak boleh mengatasi keperluan menambah tenaga kerja di fasiliti kesihatan.
“Semakan mendapati sehingga 31 Mac 2026, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 15,587 kekosongan jawatan jururawat dan 2,901 kekosongan Penolong Pegawai Perubatan.
“Dalam tempoh 2023 hingga 2025 pula, seramai 3,511 pegawai perubatan serta 1,257 pakar perubatan dan pergigian dilaporkan meninggalkan sektor awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cally berkata, angka berkenaan menunjukkan isu tenaga kerja perlu diberikan perhatian serius kerana sistem digital yang lebih pantas tidak mampu menggantikan doktor dan jururawat sekiranya jumlah petugas di bilik rawatan masih tidak mencukupi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM350 juta bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam, termasuk memperluas ketersambungan internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Jelasnya, peningkatan peruntukan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) daripada RM650 juta kepada RM1 bilion selepas tambahan RM350 juta diumumkan memerlukan penjelasan kerajaan mengenai manfaat tambahan yang bakal diperoleh.
“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada tambahan itu melibatkan lebih banyak fasiliti, peningkatan spesifikasi sistem, perkakasan, keselamatan siber, integrasi data atau kos penyelenggaraan.
“Mengapa kos PERSADA RM650 juta meningkat kepada RM1 bilion dan apakah pengurangan masa menunggu yang boleh diukur selepas peruntukan itu dibelanjakan?” katanya.
Tambahnya, pada masa sama kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kekurangan tenaga kerja kesihatan yang memberi kesan secara langsung terhadap masa menunggu pesakit di hospital.
“Sistem komputer yang lebih pantas tidak mampu menggantikan doktor dan jururawat sekiranya jumlah petugas di bilik rawatan masih tidak mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette
















