KUALA LUMPUR – Batik Air membatalkan lapan penerbangan berjadual antara Kuala Lumpur dan Jakarta hari ini susulan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan ruang udara yang terjejas akibat aktiviti gunung berapi tersebut.
Menurut Batik Air, notis penerbangan terbaharu yang dikeluarkan AirNav Indonesia menunjukkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, turut terjejas.
Penerbangan yang dibatalkan hari ini ialah OD398 dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 6.45 pagi dan OD399 dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 9 pagi.
Turut dibatalkan ialah OD346 dari Subang ke Jakarta pada 9.30 pagi dan OD347 dari Jakarta ke Subang pada 11.45 pagi.
Dua lagi penerbangan iaitu OD388 dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 11.45 pagi dan OD389 dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 1.50 petang turut terjejas.
Selain itu, penerbangan OD390 dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 3.45 petang dan OD391 dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada 5.50 petang juga dibatalkan.
Batik Air menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan kru serta hasil penyelarasan dengan pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang.
“Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi Batik Air,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan berkenaan turut menjelaskan kehadiran abu gunung berapi di ruang udara boleh menjejaskan jarak penglihatan, mengganggu sistem navigasi pesawat serta berpotensi menjejaskan prestasi enjin.
Batik Air berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan aktiviti gunung berapi dan keadaan operasi penerbangan ke destinasi terjejas sebelum mengeluarkan maklumat terkini melalui saluran rasmi syarikat.
Penumpang yang terjejas boleh memohon untuk menukar perjalanan ke penerbangan Batik Air seterusnya yang tersedia, tertakluk kepada kekosongan, atau memohon bayaran balik.
Mereka dinasihatkan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Batik Air atau saluran tempahan masing-masing bagi mendapatkan bantuan dan membuat pilihan berkenaan.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera, merupakan gunung berapi aktif yang terbentuk selepas letusan besar Krakatau pada 1883.
Aktiviti gunung berapi di kawasan berkenaan dilaporkan boleh menghasilkan abu yang tersebar ke ruang udara dan berpotensi menjejaskan operasi penerbangan. – MalaysiaGazette
















