GEORGE TOWN – Tiada penumpang dari Indonesia terkandas secara beramai-ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) susulan pembatalan beberapa penerbangan antara Jakarta dan Pulau Pinang akibat kesan letusan Gunung Anak Krakatau.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pihak pengurusan lapangan terbang memaklumkan syarikat penerbangan yang terjejas termasuk AirAsia, TransNusa dan Batik Air sudah memaklumkan penumpang terbabit lebih awal menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta saluran komunikasi lain.
Pembatalan itu berlaku susulan abu gunung berapi yang menjejaskan operasi penerbangan dan penggantungan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.
“Berdasarkan maklumat terkini yang tersedia kepada pihak pengurusan lapangan terbang, syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terjejas sudah memaklumkan penumpang berkaitan dengan segera.
“Susulan itu, tiada penumpang Indonesia terkandas secara besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya di sini.
Tambah Hon Wai, keadaan jerebu yang agak teruk di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia sejak beberapa minggu kebelakangan ini, tidak menjejaskan operasi penerbangan di LTAPP setakat ini.

Katanya, operasi keseluruhan lapangan terbang termasuk pelepasan dan pendaratan pesawat masih berjalan seperti biasa.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dengan rapat dan mengekalkan komunikasi dengan pihak lapangan terbang serta syarikat penerbangan bagi menangani serta meminimumkan kesan jerebu dan insiden penerbangan tidak dijangka terhadap pengunjung ke Pulau Pinang serta industri pelancongan,” katanya.
Terdahulu, Hon Wai mengadakan pertemuan dengan Pengurus Kanan Lapangan Terbang LTAPP yang baharu dilantik, Ahmad Fikri Samsudin.
Dalam pertemuan itu, Hon Wai turut mendapatkan perkembangan terkini mengenai pelan pengembangan LTAPP, rancangan pengurusan dan hala tuju pembangunan lapangan terbang, selain membincangkan kapasiti lapangan terbang serta aliran penumpang pelancongan.
Beliau berkata, perbincangan berkenaan penting bagi memastikan perancangan infrastruktur dan pengurusan lapangan terbang selari dengan strategi kerajaan negeri untuk terus memperluaskan rangkaian penerbangan terus antarabangsa dari Pulau Pinang. – MalaysiaGazette
















