KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meletakkan jawatan susulan tragedi nahas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak tidak wajar dijadikan penyelesaian setiap kali berlaku isu dalam sistem kesihatan.
Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, tragedi berkenaan sepatutnya menjadi ruang untuk menilai kelemahan sistem secara menyeluruh bukan mencari individu untuk dipersalahkan sebelum punca sebenar kejadian dikenal pasti.
“Saya tidak bersetuju dengan gesaan tersebut. Meletakkan jawatan bukan penyelesaian kepada masalah sistemik yang telah berlarutan sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemimpin DAP itu berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal yang menggesa Dzulkefly meletakkan jawatan susulan tragedi yang mengorbankan lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang.

Menurutnya, isu berkaitan FDS, tenaga kerja, elaun serta pelbagai kelemahan dalam sistem kesihatan bukan perkara baharu malah ada yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
“Kalau setiap masalah diselesaikan dengan meminta menteri meletakkan jawatan, kita mungkin menukar Menteri tetapi masalah yang sama akan terus kekal,” ujarnya.
Katanya, persoalan yang lebih penting ketika ini ialah bagaimana kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki supaya keselamatan petugas dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terus terdedah kepada risiko.
“Kita perlu melihat masalah ini secara menyeluruh dan bukan sekadar mencari kambing hitam setiap kali berlaku tragedi.
“Persoalan lebih penting ialah bagaimana kelemahan sistem kesihatan yang telah berlarutan sekian lama boleh diperbaiki,” katanya.
Tragedi itu berlaku ketika helikopter FDS yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan terhempas berhampiran landasan terbang Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa lalu.
Kesemua lima mangsa disahkan terkorban.
FDS pula memainkan peranan penting dalam memastikan akses kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
Dalam pada itu, Lingeshwaran sendiri pernah membangkitkan isu keselamatan FDS dan mendesak supaya model helikopter yang digunakan untuk perkhidmatan berkenaan dihentikan kerana kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Menurutnya, pada peringkat awal beliau dimaklumkan bahawa perkhidmatan tersebut akan diteruskan.
Namun selepas nasihat dan penilaian daripada pihak berkuasa berkaitan, FDS di Sarawak kemudiannya dihentikan sementara.
Beliau berkata, isu keselamatan tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas berlaku kemalangan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada penilaian berterusan terhadap operasi FDS.
Ia termasuklah keadaan pesawat, penyelenggaraan, latihan, laluan penerbangan serta risiko operasi di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, Lingeshwaran berkata sebarang kesimpulan mengenai punca nahas Long Lellang perlu dibuat berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukan spekulasi.
Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan siasatan bagi menentukan keadaan, faktor penyumbang dan punca nahas manakala laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.
“Sebab itu kita tidak boleh tergesa-gesa menentukan siapa yang harus dipersalahkan sebelum siasatan selesai. Kita perlu memberi ruang kepada pihak yang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Mengulas mengenai elaun FDS pula, beliau berkata cadangan KKM untuk meningkatkan elaun berkenaan kepada RM60 merupakan usaha yang wajar dihargai namun jumlah itu masih belum mencukupi.
“Saya menghargai usaha untuk mengkaji semula elaun tersebut, tetapi RM60 masih tidak setimpal dengan risiko dan cabaran yang ditanggung oleh petugas,” katanya.
Cadangan peningkatan elaun itu dilaporkan telah dikemukakan sebelum tragedi Long Lellang berlaku, dengan KKM mencadangkan kenaikan daripada RM30 kepada sekurang-kurangnya RM60.
Menurut Lingeshwaran, persoalan mengenai elaun juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar iaitu kebajikan petugas yang sanggup menjalankan tugas dalam keadaan mencabar bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak terputus daripada perkhidmatan kesihatan.
“Petugas FDS bukan sahaja berdepan cabaran melaksanakan tugas di kawasan pedalaman tetapi turut menanggung risiko perjalanan untuk sampai kepada masyarakat yang memerlukan. Sebab itu aspek kebajikan dan keselamatan mereka mesti berjalan seiring,” katanya.
Beliau berkata, pertanggungjawaban Menteri tetap penting dalam memastikan kementerian berfungsi dengan baik, namun ia tidak bermakna setiap kelemahan atau tragedi perlu diselesaikan dengan menuntut seorang Menteri berundur.
Menurutnya, ukuran kejayaan selepas sesuatu tragedi bukan sekadar sama ada seseorang kehilangan jawatan, sebaliknya sama ada langkah pembetulan benar-benar diambil dan mampu mengelakkan tragedi sama daripada berulang.
“Yang rakyat perlukan bukan sekadar siapa yang perlu meletakkan jawatan. Rakyat mahu tahu siapa yang akan membetulkan sistem dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.
Lingeshwaran berkata, tragedi Long Lellang wajar menjadi titik penting untuk kerajaan menilai semula keseluruhan mekanisme FDS, khususnya aspek keselamatan penerbangan, kebajikan petugas dan keupayaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang konsisten kepada masyarakat pedalaman.
“Kita perlu mencari punca, memperbaiki kelemahan dan memastikan keselamatan petugas serta rakyat menjadi keutamaan. Jangan sampai kita hanya mencari kambing hitam, tetapi akar masalah terus tidak disentuh,” katanya. -MalaysiaGazette
















