Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR –  Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mencabar Pakatan Harapan (PH) supaya menyingkirkan UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, cabaran Ahmad Zahid terhadap Kerajaan Persekutuan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini supaya UMNO dikeluarkan daripada kerajaan di Putrajaya sepatutnya turut dilontarkan kepada PH di Pulau Pinang.

“Persoalannya, mengapa Zahid tidak berani mencabar PH di Pulau Pinang supaya UMNO dikeluarkan daripada kerajaan negeri?,” soal beliau dalam hantaran di media sosial hari ini.

Beliau berkata, ketika ini UMNO mempunyai wakil dalam barisan Exco kerajaan negeri, dua pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dakwa beliau lagi, mungkin Ahmad Zahid menyedari kedudukan PH di Pulau Pinang tidak terjejas sekiranya dua wakil rakyat UMNO tidak lagi menyokong kerajaan negeri.

“Adakah Zahid tidak berani berbuat demikian kerana mengetahui tanpa dua wakil rakyat UMNO sekalipun, kerajaan PH masih mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?,” soalnya lagi.

Lantaran itu, Guan Eng menggesa kepimpinan PH Pulau Pinang supaya tidak terus berdiam diri berhubung kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri.

Katanya, UMNO tidak wajar mengambil kesempatan dengan berada dalam kerajaan negeri tetapi pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Penyokong PH sudah jelas bahawa UMNO dan Pas akan terus memainkan politik ekstrem serta menggunakan retorik yang memecahbelahkan masyarakat untuk mendapatkan kuasa,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan Pulau Pinang menangguhkan kenaikan caj dan fi, cukai tanah, tarif air serta kadar parkir sebagai langkah menangani rungutan rakyat.

Menurutnya, keputusan itu boleh membantu memulihkan keyakinan rakyat, selain mengurangkan ruang untuk BN dan PN menjadikan isu berkenaan sebagai modal politik. -MalaysiaGazette

Jangan cabar UMNO keluar kerajaan – Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here