Peguam, Kitson Foong mewakili remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya tahun lalu bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto AIMAN RIZAL, 14 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun terlepas daripada tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia tidak waras ketika kejadian.

Peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong berkata, Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan keadaan mental anak guamnya berdasarkan keterangan pakar psikiatri yang dilantik mahkamah, sekali gus membuka ruang untuk pemakaian Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Seksyen 84 KK memperuntukkan memperuntukkan suatu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang tidak sempurna akal atau tidak siuman pada masa kejadian, sehingga tidak berupaya mengetahui sifat perbuatan tersebut atau sama ada ia salah atau bertentangan dengan undang-undang, adalah bukan suatu kesalahan.

“Kami membuktikan ini bukan cakap kosong kerana ia disokong seorang doktor psikiatri yang tidak memihak kepada mana-mana pihak untuk memberi pendapat mengenai isu mental yang dialami,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, mahkamah turut menerima keterangan doktor pakar psikiatri yang mengesahkan remaja berkenaan menghidap skizofrenia.

“Ia disahkan doktor sendiri. Dia memang disahkan mempunyai skizofrenia yang serius dan agresif. Dalam pada itu, dia juga mendengar suara dan perkara itu tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Dalam pada itu, Kitson berkata, mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dimasukkan ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta untuk mendapatkan rawatan bermula hari ini.

“Dia akan dirawat dan ini akan mengambil masa. Setiap tempoh, pihak Hospital Bahagia akan membuat satu laporan bertulis untuk dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pertimbangan sama ada penama (remaja) sesuai dipulangkan kepada masyarakat,” katanya sambil berkata laporan rawatan akan diserahkan kepada Sultan Selangor setahun sekali bagi pertimbangan pengampunan.

Peguam Kitson Foong, yang mewakili remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas. Foto AIMAN RIZAL, 14 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, keluarga remaja berkenaan boleh memohon supaya laporan berkaitan perkembangan rawatan disediakan setiap enam bulan, namun menegaskan proses rawatan perlu diberi ruang dan masa sewajarnya.

Mengulas keadaan remaja pada hari ini, Kitson berkata, anak guamnya memahami penghakiman berkenaan dalam masa yang sama, keluarganya yang hadir di mahkamah turut menerima keputusan mahkamah hari ini.

Sementara itu, Kitson menegaskan, keputusan mahkamah pada hari ini tidak harus dilihat sebagai penghinaan terhadap keluarga mangsa.

“Nyawa yang telah diragut, yang juga seorang remaja, patut diambil kira. Bukan kami tidak mengambil kepentingan, tetapi keputusan mahkamah adalah berdasarkan laporan rawatan dan pendapat pakar,” katanya lagi.

Artikel berkaitan: Remaja 15 tahun akan didakwa tikam rakan pagi ini

Kes tikam pelajar: Remaja diperintah bela diri

Kes tikam pelajar di sekolah Damansara Utama, tertuduh mengaku tak salah

Kes tikam pelajar: Laporan psikiatri perlu sebulan lagi

Sebutan kes remaja lelaki tikam pelajar perempuan Bandar Utama

Suspek tikam pelajar 16 tahun akan disambung reman esok

 

 

Beliau menambah,  kanak-kanak yang berdepan masalah mental wajar diberi ruang mendapatkan rawatan dan peluang kedua.

Sementara itu, Kitson berkata, hakim turut mengingatkan remaja terbabit supaya menyedari tindakannya telah menyebabkan kehilangan satu nyawa, justeru peluang kedua yang diberikan kepadanya perlu dihargai sebaiknya.

Remaja berkenaan berusia 14 tahun dan pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan ketika kejadian, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Sepanjang perbicaraan pendakwaan mengemukakan 11 saksi manakala dua daripada pembelaan termasuk remaja itu sendiri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here