Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kerana kononnya menolak parti itu ke arah Pas, sebaliknya keputusan berkenaan dibuat sendiri demi memastikan kelangsungan politiknya.

Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, UMNO sendiri memilih untuk menyertai kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), meskipun menyedari DAP serta parti dari Sabah dan Sarawak turut berada dalam kerajaan.

Katanya, UMNO-BN hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15 dan tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah rakan yang membawa UMNO masuk ke dalam kerajaan, memberikan parti itu tujuh jawatan menteri dan lima timbalan menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri serta kementerian penting bagi memastikan kestabilan negara.

“Tiada siapa memaksa UMNO menyertai kerajaan perpaduan. UMNO masuk dengan rela dan kekal lebih tiga tahun, selain menikmati manfaat daripada kedudukannya dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Xavier yang pernah menjadi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, tidak timbul persoalan PH menolak UMNO ke arah Pas seperti yang didakwa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Jadi, di mana sebenarnya PH ‘menolak’ UMNO ke arah Pas? Ini bukan tindakan PH, sebaliknya usaha terdesak UMNO untuk terus relevan.

“Tiada siapa memaksa sesiapa menjadi terdesak. Menyalahkan DAP atas keputusan yang dibuat UMNO sendiri tidak akan mengubah hakikat itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang lebih luas untuk persefahaman politik dengan Pas.

Menurut Xavier, pendirian itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang pada masa sama menegaskan UMNO tidak memerlukan pakatan politik baharu.

“Mohamad pula mencabar Pas membuktikan keikhlasannya dengan mengadakan pilihan raya mengejut di salah satu daripada empat negeri dikuasainya, tetapi dalam masa sama menegaskan UMNO tidak memerlukan pakatan baharu.

“Percanggahan ini jelas menunjukkan UMNO sendiri masih belum menentukan hala tuju politiknya,” tegasnya.

Xavier turut menyentuh kenyataan seorang perwakilan UMNO dari Kedah yang menyifatkan menteri PH, PKR dan DAP sebagai ‘penyakit’ yang memerlukan ‘ubat’.

Katanya, kenyataan itu dibuat terhadap parti yang selama lebih tiga tahun duduk bersama UMNO dalam Kabinet bagi memastikan kerajaan terus bertahan.

“Jika inilah yang dimaksudkan dengan perpaduan, rakyat berhak bertanya, perpaduan untuk siapa dan pada kos apa?” katanya.

Dalam pada itu, Xavier mengingatkan UMNO supaya tidak menggadaikan legasi parti berkenaan semata-mata untuk kembali menguasai Putrajaya.

Katanya, perjuangan kemerdekaan negara yang dipimpin Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dibina melalui kerjasama antara kaum dan bukannya politik berasaskan perpecahan.

“UMNO membawa legasi kemerdekaan negara. Tunku Abdul Rahman tidak mencapai kemerdekaan seorang diri, sebaliknya bersama masyarakat Cina dan India.

“Untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Pas atau membuka ruang kepada politik yang menggunakan kaum dan agama sebagai alat mendapatkan kuasa bermakna mengkhianati legasi itu,” jelasnya.

Xavier berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya berdepan krisis politik yang diwujudkan atas kepentingan mendapatkan kuasa.

“Jangan lagi mengatakan PH menolak UMNO ke arah ini. UMNO membuat pilihan itu sendiri untuk terus bertahan. Bola kini berada di gelanggang UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here