KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak hari ini tampil mendesak Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf susulan kontroversi ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berhubung jenaka melibatkan paderi dan biarawati.
Antaranya ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka.
“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah.
“Jika kita marah bila diperlakukan sebegitu, maka kita tidak seharusnya buat pada orang yang lain juga.
“Jadi saya mendesak agar individu ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan, jenaka oleh Noorazli itu langsung tidak menggambarkan tentang pendirian UMNO, sebaliknya adalah kenyataan peribadi Ketua UMNO Sepang berkenaan.
Sementara itu, desakan sama turut dibuat Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang menyifatkan jenaka berunsur seksual melibatkan biarawati dan paderi Katolik tidak boleh diterima, walau apa niat sekalipun.
Tegas beliau, agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati.
“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.
“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara.
“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.
Dalam isu sama, Ahli Parlimen Tuaran yang juga ADUN Tamparuli menyifatkan jenaka oleh Noorazli itu ‘amat tidak wajar dan menyinggung perasaan’.
“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129, dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung ucapan Noorazli tersebut kerana ia ‘berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dan rasa tidak hormat terhadap sesuatu komuniti agama’.
CLS dalam kenyataan berkata, gurauan Noorazli kemungkinan ada implikasi undang-undang termasuk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana disiarkan di media sosial.
Menurutnya, berkata kenyataan Noorazli itu juga merendahkan golongan paderi dengan menggambarkan mereka dalam cara yang lucah dan tidak dihormati.
“Kenyataan sedemikian di hadapan khalayak ramai dalam satu perhimpunan politik nasional adalah sama sekali tidak wajar dan tidak sesuai bagi mana-mana wakil rakyat atau pemimpin parti,” katanya.
Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2026, Sabtu lalu, Noorazli menceritakan jenaka berkisarkan mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati. – MalaysiaGazette
















