ISLAMABAD – China telah memaklumkan kepada kedutaan asing mengenai prosedur pengumpulan sampel DNA daripada waris warga asing yang hilang susulan kejadian banjir dan gelongsoran lumpur di sepanjang sempadan Nepal-Tibet bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi memetik Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun.
Beliau berkata pihak berkuasa China meneruskan operasi mencari dan mengecam identiti di Wilayah Autonomi Xizang, yang juga dikenali sebagai Tibet.
“China telah memaklumkan kepada kedutaan asing yang berkaitan di China mengenai prosedur pengumpulan sampel DNA daripada keluarga individu yang hilang,” kata Guo kepada pemberita di Beijing.
Sekiranya mayat mangsa warga asing ditemukan dan identiti mereka disahkan, kedutaan berkaitan akan dimaklumkan dengan kadar segera mengenai aturan pengurusan jenazah, katanya.
Pihak berkuasa di Xizang turut mewujudkan talian hayat bagi membantu keluarga warga asing yang hilang.
Di pihak Nepal, seramai 1,385 orang disahkan terkorban manakala 5,130 lagi masih hilang, menurut angka terbaharu yang diterbitkan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMA) Nepal dalam kemas kini portal banjir kerajaan.
Pihak berkuasa itu memaklumkan seramai 13,676 orang telah diselamatkan, manakala 21,022 anggota keselamatan digerakkan bagi operasi mencari, menyelamat dan menyampaikan bantuan.
Antara yang hilang di Nepal termasuk 587 pelancong asing. Pihak berkuasa berkata jumlah individu yang hilang masih tertakluk kepada pengesahan dan mungkin merangkumi mayat yang belum dikenal pasti serta mangsa yang telah diselamatkan.
Di pihak China, jumlah korban di Xizang kekal 43 orang manakala 519 orang masih hilang, termasuk 261 warga asing.
Bencana itu berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal retak pada ketinggian kira-kira 5,200 meter.
Keretakan itu mencetuskan runtuhan ais dan batuan yang bertukar menjadi aliran puing berskala besar serta melanda lembah di sepanjang sempadan.
Limpahan air banjir dan gelongsoran lumpur meranapkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, serta Lembah Kathmandu. Bencana itu turut menimbus pintu sempadan Gyirong.
— BERNAMA-ANADOLU
















