KUANTAN – Empat stesen pemantauan kualiti udara di empat daerah di Pahang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu melebihi 100 setakat jam 10 pagi ini.
Berdasarkan laporan Air Pollutant Index Management System (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan di daerah Kuantan iaitu di Indera Mahkota dan Balok Baru masing-masing merekodkan bacaan IPU 162.
Selain itu, kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Temerloh (157), Jerantut (156) dan Rompin (152).
Sebagai rekod, bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi bahan pencemar dominan, yang digunakan untuk menentukan kategori kualiti udara semasa.
Orang ramai boleh menyemak maklumat terkini status kualiti udara melalui portal rasmi APIMS JAS yang dikemas kini setiap jam. – MalaysiaGazette
















