Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi
Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi.

KUALA LUMPUR – Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukan tiket untuk mengetepikan persoalan integriti, termasuk terhadap mana-mana calon yang mahu diangkat sebagai Perdana Menteri.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang merangkap Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, persoalan yang dibangkitkan AMK adalah berkaitan integriti calon dan bukannya cubaan menjatuhkan hukuman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid pernah berdepan 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi sebelum diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada September 2023.

“Pemuda UMNO sendiri mahu proses undang-undang diselesaikan. Itu juga yang AMK tuntut, jadi apa salahnya?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendirian UMNO membentuk Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan soal integriti.

“Apa yang saya nak tekankan pendirian UMNO membentuk Kerajaan Perpaduan bukan alasan untuk kita ketepikan integriti. Harus ingat kerjasama ini dibina untuk mentadbir negara, bukan untuk kita berkompromi,” katanya.

Muhammad Iman Haziq berkata, UMNO mempunyai hak mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan Perdana Menteri, namun rakyat juga mempunyai hak untuk bertanya dan menilai calon yang dikemukakan.

“Jangan soal kuasa UMNO berani tawarkan calon tapi soal integriti tidak mahu?” katanya.

Beliau menegaskan pendirian AMK berhubung integriti tidak akan dikompromi, termasuk terhadap rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pendirian AMK soal integriti tidak akan dikompromi, tidak terkecuali rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, ini mesti menjadi batu asas buat semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here